P. Ramasamy

KUALA LUMPUR – DAP didakwa berdepan kemerosotan sokongan yang semakin serius dan tidak mungkin dapat dipulihkan hanya menerusi prestasi lebih baik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Pengerusi Uraimai, P. Ramasamy berkata, kemerosotan yang dialami parti itu bukan lagi bersifat setempat, sebaliknya mencerminkan trend nasional yang turut menyaksikan prestasi lemah DAP di Sabah dan Johor.

“DAP tidak boleh menganggap kemenangan di Negeri Sembilan mampu menghentikan kemerosotan sokongan yang semakin mendalam. Gelombang penolakan terhadap DAP tidak terhad kepada satu atau dua negeri sahaja,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut mendakwa, nasib sama sedang menimpa Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang hanya memenangi satu kerusi pada PRN Johor baru-baru ini.

Sebaliknya, beliau meramalkan  Barisan Nasional (BN) berpotensi mengulangi kejayaan seperti di Johor dengan merampas jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan pada pilihan raya negeri akan datang.

Mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke bahawa Negeri Sembilan mempunyai dinamik politik berbeza daripada Johor, Ramasamy berpandangan punca utama kemerosotan DAP ialah prestasi kerajaan di peringkat Persekutuan dan bukannya isu tempatan.

“Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, mungkin mendakwa bahawa Negeri Sembilan berbeza daripada Johor, namun beliau terlepas pandang hakikat bahawa penyakit yang sedang menimpa gabungan Pakatan Harapan (PH) secara keseluruhan, dan DAP khususnya, berpunca daripada prestasi mereka di peringkat nasional, bukannya isu-isu tempatan,” tambahnya.

Beliau mendakwa masyarakat India mula menjauhkan diri daripada PH sejak pilihan raya negeri 2023, manakala sokongan masyarakat Cina terhadap DAP turut menunjukkan penurunan ketara.

Menurutnya, sokongan pengundi Cina kepada DAP di Johor dilaporkan merosot kepada kurang 50 peratus berbanding sekitar 80 hingga 85 peratus sebelum ini.

Beliau turut mendakwa masyarakat India semakin hilang keyakinan terhadap DAP kerana menganggap parti itu gagal memperjuangkan kepentingan komuniti tersebut.

Para pemimpin DAP, dakwanya, setelah menikmati keselesaan kuasa, jawatan dan pelbagai keistimewaan, mula mengabaikan asas sokongan utama mereka, iaitu masyarakat bukan Melayu di negara ini.

“Pengabaian ideologi democratic centralism, penggantiannya dengan konsep social demokrasi, serta penyamaran gagasan “Malaysian Malaysia” kepada konsep yang kabur iaitu “Malaysian Dream”, mencerminkan perubahan kedudukan material dan ideologi parti tersebut.

“Transformasi DAP dalam tempoh hanya 18 tahun bukanlah sesuatu yang berlaku secara kebetulan, sebaliknya selaras dengan perubahan asas ideologi dan material parti itu.

“Sebab itulah saya berpendapat adalah naif untuk Anthony Loke mendakwa bahawa keputusan pilihan raya Negeri Sembilan akan memberi kelebihan kepada DAP.,” katanya lagi.

Beliau turut berpandangan perubahan hala tuju ideologi DAP serta kegagalan memperjuangkan beberapa isu yang melibatkan masyarakat bukan Melayu turut menyumbang kepada kemerosotan sokongan.

Antara isu yang dibangkitkan ialah kemasukan graduan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) ke universiti awam, isu ladang ternakan babi serta kontroversi melibatkan pemindahan sebuah kuil Hindu di Kuala Lumpur.

Beliau berkata, himpunan pelbagai isu tersebut telah mewujudkan sentimen penolakan yang semakin meningkat terhadap PH, khususnya DAP dan PKR.

Sehubungan itu, beliau berpendapat usaha memulihkan sokongan terhadap DAP bukan sesuatu yang boleh dilakukan dalam tempoh singkat kerana parti itu berdepan cabaran yang lebih mendalam melibatkan struktur politik dan ekonomi negara.

Katanya, gelombang penolakan yang berlaku dijangka turut memberi kesan kepada DAP menjelang PRN Negeri Sembilan yang dijadualkan berlangsung pada 1 Ogos ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast