KUALA LUMPUR – Isu pemansuhan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) perlu dibincangkan secara berhemah dalam Kerajaan Perpaduan dan tidak dijadikan polemik politik, jelas Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri itu berkata, perkara berkaitan PTPTN perlu dirujuk serta dibincangkan bersama Menteri Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang bertanggungjawab terhadap agensi berkenaan.
“Untuk PTPTN tak selesai. Bincang dengan baik antara Johor pun dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan. Jadi, kita runding dengan baik.
“Soal PTPTN itu kita bincang dengan Menteri KPT,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) yang turut membangkitkan isu peluang pekerjaan golongan muda lepasan universiti serta cadangan pemansuhan PTPTN.
Isu PTPTN kembali menjadi perhatian selepas Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi sebelum ini membangkitkan mengenai janji pemansuhan pinjaman berkenaan, sedangkan portfolio PTPTN kini berada di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi yang diterajui wakil UMNO dalam Kerajaan Perpaduan.
Dalam pada itu, Anwar berkata, kerajaan sentiasa memberi keutamaan kepada peluang pekerjaan anak tempatan, khususnya golongan muda, sebelum mempertimbangkan keperluan membawa masuk pekerja asing.
Katanya, kerajaan kini memperketatkan proses kelulusan pekerja asing bagi memastikan alasan keperluan tenaga kerja benar-benar berkaitan kemahiran dan kepakaran yang diperlukan.
“Kalau kita perlu kemahiran kepakaran dari segi semikonduktor ataupun AI, kita boleh bawa. Tetapi jangan guna alasan itu untuk bawa dalam satu syarikat dengan tenaga kerja yang bukan mahir,” tegas Anwar.
Beliau berkata, terdapat keadaan sesetengah syarikat memohon pekerja asing atas alasan memerlukan tenaga profesional, namun pekerjaan yang ditawarkan sebenarnya boleh diisi oleh rakyat tempatan.
Menurut beliau, kerajaan tidak lagi memberi kelulusan mudah kepada agensi tertentu untuk membawa masuk pekerja asing tanpa penelitian lebih ketat.
Anwar berkata, isu tenaga kerja asing sememangnya kompleks kerana banyak negara berdepan cabaran sama apabila berlaku kebergantungan tinggi terhadap pekerja luar.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan mengakui terdapat sektor tertentu yang masih memerlukan pekerja asing, namun pengambilan mereka mesti melalui saluran sah dan mematuhi peraturan ditetapkan.
“Kita memerlukan tenaga pekerja asing, itu satu kenyataan. Tetapi harus ikut saluran dan peraturannya,” katanya.
Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan juga perlu dilaksanakan terhadap pekerja asing yang melanggar peraturan termasuk menjalankan aktiviti perniagaan atau pekerjaan tanpa permit sah.
Katanya, pendekatan itu penting bagi memastikan keadilan kepada pekerja tempatan serta pekerja asing yang mematuhi undang-undang.
“Kalau peraturan dipatuhi, sama ada pekerja tempatan atau pekerja asing, kita akan beri perlindungan. Tapi kalau peraturan dilanggar, tindakan tegas harus diambil,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















