Hassan Abdul Karim

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menunaikan janjinya untuk menurunkan harga minyak susulan pelaksanaan subsidi bersasar bagi petrol RON95 dan diesel.

Lantaran itu, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim berkata, beliau sanggup untuk berbahas atau berdebat dengan sesiapa sahaja terutama ahli-ahli Parlimen pembangkang yang menyatakan perdana menteri tidak mengotakan janjinya.

“Biarlah fakta yang bercakap. Apakah Anwar patut disalahkan atau beliau seharusnya dipuji jika sejak Februari 2026 berlakunya perang di Teluk Parsi, bekalan minyak petrol, diesel serta gas asli untuk memasak kekal mencukupi untuk kegunaan kehidupan seharian rakyat dan keperluan perniagaan serta industri?

“Selain dari Brunei Darul Salam dan Arab Saudi, tidakkah harga petrol dan diesel di Malaysia adalah yang terendah di dunia?

“Tidakkah seluruh rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas, yang layak, tidak kira kaya atau miskin; tidak kenal kaum atau agama mereka, semuanya dilayan sama sebagai warganegara dan berhak secara otomatik membeli minyak petrol RON95 bersubsidi dengan harga RM1.99 seliter dengan hanya mengemukakan kad pengenalan (mykad) masing-masing?,” soalnya.

Menurut Hassan, mulai 1 Julai 2026 harga minyak diesel bersubsidi di seluruh Malaysia, di Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Labuan boleh dibeli dengan harga subsidi RM2.10 seliter.

Manakala harga diesel tanpa subsidi adalah RM4.07 seliter.

“Tidakkah ini bermakna Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah menunaikan janjinya? Bukan sahaja petrol RON95 diberi subsidi malah minyak diesel juga diberi subsidi.

“Seramai 700,000 individu layak menerima diesel subsidi. Sebanyak 450,000 sektor logistik juga layak menerima diesel bersubsidi. Malah tidak ketinggalan seramai 210,000 petani dan pekebun kecil di seluruh negara menjadi penerima diesel bersubsidi.

“Dengan fakta-fakta benar yang saya bentangkan secara bertanggungjawab di atas, maka silalah jawab: Tidakkah Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri telah menunaikan janjinya selama ini untuk menurunkan harga minyak?,” hujah beliau lagi.

Meskipun begitu, beliau masih mempunyai pandangan kritikal terhadap tindakan Anwar yang memegang portfolio menteri kewangan serentak dengan jawatan perdana menteri.

Namun Hassan menyifatkan perkara itu sebagai isu tadbir urus yang berasingan daripada pelaksanaan subsidi bahan api. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast