Sesi bergambar bersama pensyarah, pelajar FPT, dan komuniti semasa perasmian Projek SULAM Projek Denai Pendidikan Lokos-Borot dan Rumah Hijau.

PENAMPANG – Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi Fakulti Perhutanan Tropika (FPT) memperkukuh hubungan dengan komuniti melalui pelaksanaan Projek Denai Pendidikan Lokos-Borot dan Rumah Hijau Kampung Tampasak Babagon yang memfokuskan aktiviti pemindahan ilmu, pendidikan serta pemeliharaan alam sekitar.

Inisiatif itu dilaksanakan menerusi pendekatan Service Learning Malaysia-University for Society (SULAM), iaitu kaedah pembelajaran berasaskan perkhidmatan yang menggabungkan ilmu akademik dengan penyelesaian isu sebenar di peringkat komuniti.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, Profesor Datuk Dr. Rossita Shapawi berkata, projek berkenaan menjadi platform pembelajaran autentik yang memperkukuh kerjasama antara universiti dan komuniti, di samping menyokong agenda pembangunan lestari menerusi perkongsian kepakaran serta pemindahan ilmu.

“Pelaksanaan SULAM membuktikan komitmen universiti dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, malah berupaya menjadi agen perubahan kepada masyarakat,” katanya ketika merasmikan projek itu di Kampung Tampasak Babagon, Penampang baru-baru ini.

Menerusi projek ini, pelajar berpeluang mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran yang dipelajari di bilik kuliah dalam pelaksanaan program yang memberi manfaat secara langsung kepada komuniti, sekali gus memupuk nilai kepimpinan, kesukarelawanan, empati dan tanggungjawab sosial.

Projek itu menghimpunkan pensyarah FPT, pelajar, komuniti serta penduduk Kampung Tampasak Babagon bagi meraikan kejayaan pelaksanaan projek berimpak kepada komuniti. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast