MUAR – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akan terlibat dalam Larian Kesyukuran Muar bagi mengumpul dana RM200,000 membantu penduduk dan pelajar di daerah ini yang memerlukan.
Menurutnya, larian tersebut diadakan selama empat hari dari Istana Kehakiman, Putrajaya sehingga ke Laman Maharani di sini bermula esok hingga Ahad ini.
“Larian ini merupakan tanda kesyukuran saya selepas melalui satu perjalanan yang sangat panjang dan mencabar sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini, di samping menjadi usaha mengumpul dana untuk Muar.
“Melalui Larian Kesyukuran Muar ini, saya menyasarkan kutipan dana sebanyak RM200,000 bagi membantu dua inisiatif utama di Muar iaitu penyediaan bantuan Bakul Makanan kepada keluarga dan golongan yang memerlukan; dan
Syed Saddiq berkata, sepanjang empat hari perjalanan itu, larian akan disiarkan secara langsung melalui platform TikTok, Facebook dan YouTube.
Katanya, orang ramai boleh mengikuti keseluruhan perjalanan, perkembangan kutipan dana serta kisah masyarakat yang ingin kami bantu.
“Semua sumbangan akan disalurkan melalui akaun rasmi Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Muar. Nombor akaun, kod QR bank serta maklumat berkaitan kempen akan dipaparkan melalui satu pautan rasmi bagi memudahkan orang ramai membuat sumbangan.
“Perkembangan jumlah kutipan juga akan dikemas kini secara berkala. Selepas kempen selesai, laporan berkaitan penggunaan dan agihan dana akan dikongsikan kepada orang ramai sebagai sebahagian daripada komitmen kami terhadap ketelusan dan akauntabiliti,” katanya dalam kenyataan.
Beliau memahami bahawa bukan semua orang mampu memberikan sumbangan dalam jumlah yang besar namun sumbangan kecil tetap membawa makna yang sangat besar.
Jelasnya, mereka yang tidak dapat menyumbang juga boleh membantu dengan berkongsi pautan kempen, menyebarkan siaran langsung dan mendoakan agar perjalanan ini dipermudahkan.
“Larian ini akan bermula di tempat yang menjadi simbol kepada antara perjalanan paling berat dalam kehidupan saya dan akan berakhir di Muar, tempat yang sentiasa menjadi rumah dan sumber kekuatan saya,” katanya.
“Saya berharap Larian Kesyukuran Muar ini bukan sahaja menjadi simbol kesyukuran, tetapi dapat diterjemahkan kepada bantuan yang nyata, peluang pendidikan dan kehidupan yang lebih baik untuk masyarakat Muar,” tambahnya.- MalaysiaGazette
















