KUALA LUMPUR – Parti Bersama Malaysia (Bersama) memutuskan untuk tidak menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang akan bermula dengan proses penamaan calon pada Sabtu ini.
Datuk Seri Rafizi Ramli, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Syukri Razab dalam kenyataan bersama berkata, keputusan itu diambil kerana persaingan antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) adalah lebih sengit di Negeri Sembilan, termasuk faktor PH sebagai kerajaan negeri.
Selain itu,, keputusan PRN Negeri Sembilan berkemungkinan mempengaruhi isu-isu lain yang terheret sama dengan pertembungan politik semasa, termasuk konflik yang melibatkan takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
“Mengambil kira isu-isu ini serta kekangan masa dan sumber, ersama berpendapat adalah lebih strategik agar fokus beralih kepada Pilihanraya Negeri Melaka yang akan diadakan beberapa bulan dari sekarang,” kata mereka dalam kenyataan.
Mereka turut menaruh harapan, tempoh masa yang lebih lama memberi ruang kepada Bersama masuk ke PRN Melaka dengan lebih bersedia, di samping pertimbangan-pertimbangan lain yang telah diambil kira.
“Selamat mengundi kepada pengundi-pengundi Negeri Sembilan, Insya-Allah kita akan berjumpa di Pilihanraya Umum ke-16 kelak,” ujar mereka. – MalaysiaGazette
















