SEREMBAN – Isu kuorum Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu didakwa sengaja dibangkitkan bagi dijadikan alasan untuk tidak memberikan kerusi kepada parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Ketua Bersekutu Bersatu Malaysia, Datuk Seri Sanjeevan Ramakrishnan berkata, sebenarnya isu berkenaan tidak timbul, namun dijadikan alasan untuk mengetepikan Bersatu daripada bertanding pada PRN berkenaan.
“Sebenarnya tidak timbul langsung isu kuorum, tetapi isu itu sengaja dibuat supaya dapat digunakan sebagai satu alasan untuk tidak memberikan kerusi kepada Bersatu dalam PRN Negeri Sembilan.
“Parti Wawasan Negara ketika diambil menyertai Perikatan Nasional (PN) pun belum dapat kelulusan daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).
”Tapi tetap diterima masuk dalam PN walaupun ramai dalam Majlis Tertinggi PN membantah keputusan tersebut ketika itu,” katanya dalam kenyataan di media sosial.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz yang mendakwa tindakan empat Ahli Parlimen Bersatu mengemukakan aduan kepada RoS berhubung isu kuorum MPT bertujuan mewujudkan persepsi negatif terhadap Bersatu.
Mengulas lanjut, Sanjeevan mendakwa prestasi PN semakin merosot selepas Pas mengambil alih kepimpinan gabungan itu daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Baru tiga hingga empat bulan Pas menerajui PN sudah hancur dibuatnya. Hampir enam tahun Tan Sri Muhyiddin Yassin mempengerusikan PN tidak ada masalah pun.
“Waktu Tan Sri Muhyiddin, kita lalui PRN Sabah, tetap menang satu kerusi walaupun berdepan dengan pelbagai sabotaj dalaman pada ketika itu,” ujarnya.
Beliau turut menyifatkan kekalahan PN pada PRN Johor baru-baru ini sebagai tanggungjawab Pas dan Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
“Pas jadi Pengerusi PN dan masuk PRN Johor, hanya dapat ‘telur’. Begitulah kemampuan Dr Samsuri dan Pas pada ketika ini.
“Kekalahan teruk di Johor adalah tanggungjawab penuh Pas dan Dr Samsuri,” katanya.
Empat Ahli Parlimen terbabit ialah Zakri Hassan (Kangar), Kalam Salan (Sabak Bernam), Roslan Hashim (Kulim-Bandar Baharu) dan Muslimin Yahaya (Sungai Besar).
Mereka dilaporkan berhujah bahawa MPT Bersatu yang pada asalnya mempunyai 49 ahli kini hanya berbaki 23 susulan pemecatan, penggantungan dan peletakan jawatan. -MalaysiaGazette
















