Orang ramai berkerumun menyaksikan kemalangan yang melibatkan seorang kanak-kanak dengan bas sekolah di Jalan Bungan Raya 3, Taman Sri Lalang, Kluang, petang tadi.

KLUANG – Seorang murid darjah satu maut selepas dilanggar bas sekolah dalam kejadian di Jalan Bungan Raya 3, Taman Sri Lalang di sini hari ini.

Mangsa, Mohammad Umar Mohd Faaiz berusia tujuh tahun.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komosioner Bahrin Mohd Noh berkata, kejadian tersebut berlaku pukul 4.20 petang melibatkan kanak-kanak tersebut dan bas sekolah jenis Hino yang dipandu seorang wanita berusia 36 tahun.

“Siasatan mendapati bas sekolah itu yang dipandu seorang wanita warga tempatan telah menurunkan murid terbabit di Jalan Bunga Raya.

“Setelah menurunkan murid lelaki terbabit, bas sekolah tersebut membelok ke Jalan Bunga Raya 3 dan dipercayai melanggar mangsa yang berada di sebelah kiri Jalan Bunga Raya 3,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata, akibat pelanggaran tersebut, murid terbabit jatuh atas jalan dan mengalami kecederaan parah di kepala serta meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, kes disiasat bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pihaknya menasihatkan pemandu bas sekolah memastikan keselamatan murid  sekolah yang menaiki bas sekolah mereka sebelum meneruskan perjalanan mereka.

Beliau juga menasihatkan pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati, bertimbang rasa serta mematuhi undang-undang atas jalan raya supaya tidak berlaku kejadian yang tidak diingini.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kemalangan itu boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang melalui 07-7784222; hotline 07-7766822; direct line 07-7784256 dan tablet DCC 014-365682.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast