Ahmad Ali

KANGAR – Pas Perlis tidak akan menjalinkan sebarang bentuk kerjasama politik dengan individu daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang didakwa terlibat dengan pengkhianatan terhadap Pas sebelum keluar parti itu dan menyertai Parti Wawasan.

Pesuruhjayanya, Ahmad Ali berkata, ia kerana Pas Perlis sentiasa berpegang teguh kepada prinsip perjuangan Islam yang menekankan amanah, kejujuran dan kesetiaan dalam setiap bentuk kerjasama politik.

Jadi, Pas Perlis berpendirian kerjasama politik dengan kumpulan berkenaan tidak wajar dipertimbangkan selagi isu pengkhianatan berkenaan belum diselesaikan oleh Bersatu.

“Pas Perlis berpandangan setiap perjanjian antara parti gabungan perlulah dipatuhi dan dijalankan sebaiknya kerana perlanggaran terhadap sebarang perjanjian jelas menunjukkan pengkhianatan serta ketidakharmonian yang berlaku.

“Pendirian ini diambil sebagai tanda menghormati prinsip amanah serta bagi memelihara keyakinan rakyat terhadap integriti perjuangan politik,” katanya dalam kenyataan di sini.

Tambahnya, Pas Perlis juga berpandangan Bersatu perlu mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap mana-mana individu yang dikenal pasti sebagai dalang kepada pengkhianatan tersebut, sekiranya terdapat asas dan melalui proses yang sewajarnya.

Dalam pada itu, Pas Perlis menegaskan komitmennya untuk memperkukuh kesatuan dalam kalangan rakan gabungan yang benar-benar ikhlas mempertahankan agenda perjuangan demi agama, bangsa dan negara dan akan terus membuat setiap keputusan politik berdasarkan pertimbangan maslahah, keadilan serta kepentingan rakyat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast