PENAMPANG – Polis menahan lima remaja lelaki yang dipercayai terlibat dalam perbuatan vandalisme di sebuah pondok ibadat di Sinundu Miracle Hill, Kampung Duvanson, Putatan, semalam.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata semua suspek berusia antara 13 hingga 16 tahun ditahan hasil siasatan selepas pihaknya menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.
“Siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada perbuatan vandalisme semata-mata dan tidak mempunyai kaitan dengan unsur menghina atau menjatuhkan mana-mana agama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sammy berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat sehingga menyebabkan kerosakan harta benda, selain Seksyen 295 Kanun Keseksaan.
“Kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat untuk tindakan lanjut,” katanya.
Beliau berkata polis memandang serius sebarang perbuatan khianat membabitkan rumah atau tempat ibadat kerana ia berpotensi menjejaskan keharmonian masyarakat serta ketenteraman awam.
“Siasatan dijalankan secara telus, profesional dan mengikut peruntukan undang-undang bagi memastikan tindakan sewajarnya diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab,” katanya. – BERNAMA
















