KUALA LUMPUR – Orang ramai diminta membantu mengesan seorang remaja perempuan Norziah Jorhan yang dilaporkan tidak pulang selepas keluar dari rumah di Flat Pandan Jaya, di sini sejak Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan bapa berusia 18 tahun itu mendakwa menyedari anaknya tiada di rumah jam 5 pagi.
“Pengadu seorang lelaki tempatan menyatakan sekitar 5 pagi semasa berada di rumah dia dimaklumkan oleh isterinya bahawa anak perempuan mereka sudah keluar dari rumah.
“Orang hilang (OH) dipercayai keluar dari rumah berpunca daripada perselisihan faham dalam keluarga,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, remaja terbabit memiliki kulit cerah, berketinggian dianggarkan 155 centimeter (cm), berbadan kurus dengan berat dianggarkan kira-kira 56 kilogram (kg).
Sehubungan itu, beliau meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkaitan OH atau terlihat remaja perempuan berkenaan diminta tampil ke balai polis berhampiran.
“Sebarang maklumat berkaitan boleh disalurkan kepada balai polis terdekat atau hubungi Pusat Kawalan IPD Ampang Jaya di talian 0342897222 atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Nur Alia Dyana Raimi di 0176515201.
“Pihak polis menasihatkan orang awam, khususnya ibu bapa dan penjaga agar sentiasa memantau pergerakan anak-anak masing-masing,” jelasnya. – MalaysiaGazette
















