KUALA LUMPUR – Seorang lagi lelaki tempatan ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan seorang lelaki di sebuah hotel di Sunway Mentari, Petaling Jaya pada minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, suspek berusia lingkungan 40-an itu sebelum direman selama empat hari sehingga esok bagi membantu siasatan.
“Selain dua suspek yang ditahan sebelum ini turut disambung reman bagi melengkapkan siasatan dan kita telah menahan seorang lagi lelaki tempatan pada Isnin lalu.
“Suspek direman selama empat hari sehingga 17 Julai (Khamis ini) bagi membantu siasatan kes ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Shamsudin, kertas siasatan dijangka dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) dalam minggu ini untuk arahan selanjutnya.
Pada 10 Julai lalu, media melaporkan, seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an ditemui maut di sebuah hotel di Sunway Mentari selepas polis menerima laporan berhubung kejadian itu pukul 11.23 malam.
Pemeriksaan awal mendapati, mangsa mengalami beberapa kecederaan pada badan, manakala bedah siasat yang dijalankan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) mengesahkan punca kematian adalah akibat multiple blunt impacts to the body.
Susulan kejadian itu, polis menahan dua lelaki tempatan berusia lingkungan 20 dan 30-an yang mempunyai beberapa rekod lampau bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette
















