Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan Mesyuarat Majlis Keterjaminan Makanan Negara Bilangan 1 Tahun 2026
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan Mesyuarat Majlis Keterjaminan Makanan Negara Bilangan 1 Tahun 2026

KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh keterjaminan makanan negara termasuk menangani ancaman perubahan iklim, memperluas sumber protein alternatif serta menyelesaikan isu perdagangan melibatkan sektor pertanian dan perikanan.

Perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Keterjaminan Makanan Negara Bilangan 1 Tahun 2026 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam dengan penyertaan pelbagai kementerian serta agensi berkaitan.

Menurut Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, mesyuarat berkenaan menetapkan hala tuju keterjaminan makanan negara secara lebih menyeluruh selain mengesyorkan strategi berimpak tinggi bagi memperkukuh sektor agromakanan.

Menurut beliau, antara agenda utama yang dibincangkan ialah kebolehlaksanaan dan hala tuju penghasilan sumber protein alternatif di Malaysia, inisiatif mengukuhkan daya saing industri pertanian tempatan serta strategi memperkasa perkhidmatan dan operasi slipway Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

“Kerajaan turut mengambil perhatian terhadap implikasi fenomena El Nino dan perubahan iklim yang meningkatkan risiko kemarau berpanjangan sehingga boleh menjejaskan pengeluaran makanan tempatan.

“Sehubungan itu, KPKM telah menyediakan pelbagai strategi pencegahan, penyesuaian dan perlindungan bagi membantu pengusaha sektor pertanian berdepan cabaran tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mesyuarat berkenaan jelas Mohamad, turut membincangkan beberapa isu perdagangan melibatkan produk pertanian dan perikanan, termasuk sekatan eksport udang Malaysia ke Thailand yang berlarutan sejak 2017 serta sekatan import udang Thailand ke Malaysia yang berkuat kuasa mulai 1 Jun lalu.

Selain itu, perhatian turut diberikan terhadap pemeriksaan lebih ketat ke atas eksport ikan siakap Malaysia ke Thailand serta permohonan akses pasaran produk ternakan ke negara itu yang masih tertunggak sejak 2024.

Dalam perkembangan sama, mesyuarat dimaklumkan mengenai penganjuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 yang dijadual berlangsung di MAEPS, Serdang dari 28 Ogos hingga 6 September depan.

Menurut Mohamad, MAHA 2026 dijangka menjadi platform dwitahunan utama negara dalam memacu transformasi sektor agromakanan ke arah yang lebih moden, berdaya saing dan mampan.

“Justeru, pelaksanaan kerjasama strategik yang holistik antara semua pihak amat penting bagi menjamin kemampanan sistem makanan negara, sekaligus memastikan Malaysia terus berdaya tahan mendepani dinamik cabaran global,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast