Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berucap pada Sambutan Hari Inovasi Polis Diraja Malaysia Tahun 2026 di Dewan D' Cerana, IPK Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 16 JULAI 2026

SHAH ALAM – Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu bergerak lebih pantas daripada evolusi jenayah dengan memanfaatkan pendigitalan, analitik data dan kecerdasan buatan (AI) sebagai pemangkin kepada penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap dan berkesan.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, ia kerana dunia kepolisan kini berdepan ancaman yang semakin kompleks khususnya jenayah siber, penipuan dalam talian, manipulasi kecerdasan buatan (AI), teknologi deepfake serta pelbagai bentuk jenayah rentas sempadan.

“Kepolisan Pintar yang dibangunkan ini bukan sekadar penggunaan teknologi moden, tetapi merangkumi budaya membuat keputusan berasaskan data, penyampaian perkhidmatan secara digital serta pengurusan operasi yang lebih responsif, tepat dan berintegriti.

“Saya berbangga dengan inisiatif inovasi menerusi usaha-usaha penyelidikan dan pembangunan ke arah memanfaatkan teknologi digital dan aplikasi berasaskan Al, selaras dengan hala tuju transformasi PDRM dan Kementerian Dalam Negeri (KDN),” katanya.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay merasmikan Sambutan Hari Inovasi Polis Diraja Malaysia Tahun 2026 di Dewan D’ Cerana, IPK Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 16 JULAI 2026

Beliau berkata demikian ketiak berucap pada sambutan Hari Inovasi PDRM Tahun 2026 dengan tema Pendigitalan Menjana Kepolisan Pinta di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor hari ini.

Tambah Ayob Khan, inovasi merupakan pemacu utama kepada transformasi PDRM ke arah sebuah organisasi moden, profesional dan berdaya tahan.

“Setiap idea yang dihasilkan diterjemahkan kepada penyelesaian yang keberkesanan operasi, memperkukuh penyampaian perkhidmatan serta memberi nilai tambah kepada organisasi,” jelasnya.

 

Sementara itu, sistem dron udara taktikal yang dibangunkan oleh pasukan dari Komando 69, yang lebih dikenali sebagai Very Able Troopers 69 (VAT 69), di bawah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) telah memenangi tempat pertama kategori penciptaan di acara inovasi.

Ketua pasukannya, Deputi Superitendan Muhammad Ridhuan Basri berkata, inovasi itu tertumpu pada sistem dron udara taktikal yang direka untuk meningkatkan kecekapan operasi semasa misi berisiko tinggi.

Jelasnya, dron itu dibangunkan selama enam bulan untuk mengurangkan masa penggunaan, keperluan tenaga kerja dan kos operasi semasa misi berisiko tinggi, sambil berfungsi sebagai keupayaan sandaran kepada sistem operasi konvensional.

“Sistem ini bertujuan untuk mengurangkan masa penggunaan, keperluan tenaga kerja dan kos operasi keseluruhan, terutamanya semasa operasi dalam persekitaran yang mencabar seperti Sabah.

“Dron udara taktikal adalah penyelesaian yang berkesan kerana ia mengurangkan masa, tenaga kerja dan kos. Ia tidak bertujuan untuk menggantikan sistem operasi konvensional kami tetapi berfungsi sebagai sandaran apabila sistem sedia ada menghadapi batasan,” ujarnya.

Vat Vision 69 Komando KDNKA Bukit Aman, DSP Muhammad Ridhuan Basri bercakap pada media selepas Sambutan Hari Inovasi Polis Diraja Malaysia Tahun 2026 di Dewan D’ Cerana, IPK Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 16 JULAI 2026

Tambah Muhammad Ridhuan,  pasukannya menghabiskan kira-kira enam bulan untuk membangunkan inovasi tersebut bermula pada Oktober 2025 sebelum menyiapkannya pada Mei tahun ini.

“Inovasi itu direka bentuk dengan mengambil kira penjimatan kos jangka panjang, dengan menyatakan bahawa keupayaan berasaskan dron moden jauh lebih kos efektif daripada sistem senjata konvensional.

“Kami berharap inovasi ini dapat dibawa ke tahap yang lebih tinggi dan akhirnya akan diguna pakai oleh pasukan keselamatan Malaysia,” jelasnya.

Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, DCP Datuk M.V Srikumar A/L MadHavan Nair bercakap pada media selepas Sambutan Hari Inovasi Polis Diraja Malaysia Tahun 2026 di Dewan D’ Cerana, IPK Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 16 JULAI 2026

Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Krisis dan Bencana) Datuk M.V. Sri Kumar menyifatkan, pencapaian itu sebagai satu detik yang membanggakan bukan sahaja untuk Komando 69 tetapi juga untuk seluruh pasukan polis.

Beliau berkata, inovasi  dibangunkan oleh pengguna akhir yang memahami keperluan operasi dan oleh itu menghasilkan penyelesaian praktikal yang mampu meningkatkan keberkesanan pertempuran.

“Inovasi ini mempamerkan penyelesaian yang berpandangan jauh dan bijak yang disediakan oleh Komando 69.

“Peralatan ini akhirnya boleh menjadi sebahagian daripada inventori operasi VAT 69 selepas penambahbaikan, penyelidikan dan pembangunan selanjutnya,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast