SEREMBAN – Barisan Nasional (BN) malam ini mengumumkan senarai 25 calon bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16, dengan menampilkan gabungan penyandang berpengalaman serta muka baharu daripada UMNO, MCA dan MIC.
Pengumuman itu dibuat sebagai sebahagian daripada strategi BN yang sebelum ini memaklumkan hanya 25 kerusi diumumkan terlebih dahulu bagi memberi ruang kepada persefahaman dengan parti lain menjelang hari penamaan calon.
Dari 25 calon yang diumumkan, UMNO mewakili majoriti dengan 17 calon, diikuti MCA tujuh calon dan MIC satu calon.
BN juga mempertaruhkan sembilan muka baharu, manakala 15 lagi merupakan penyandang yang akan mempertahankan kerusi masing-masing serta seorang lagi calon bertanding di kerusi berbeza.
Antara penyandang yang dikekalkan ialah Datuk Seri Jalaluddin Alias di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pertang, Datuk Mohd Asna Amin (Lenggeng), Datuk Mohd Faizal Ramli (Linggi), Datuk Mohd Razi Mohd Ali (Sungai Lui), Datuk Mustapha Nagoor (Palong), Datuk Zaifulbahri Idris (Chembong), Mohamad Sufian Maradzi (Seri Menanti), Suhaimi Aini (Kota), Suhaimizan Bizar (Gemencheh) dan Datuk Seri Mohamad Hasan yang terus mempertahankan kerusi Rantau.
BN turut melakukan pertukaran kerusi apabila Ketua UMNO Bahagian Jempol, Datuk Ismail Lasim diletakkan sebagai calon di DUN Juasseh.
Bagi kategori muka baharu pula, BN memperkenalkan beberapa nama termasuk Siow Kong Choon (Chennah), Chong Fui Ming (Bahau), Lai Chien Kong (Nilai), Leaw Kok Chan (Temiang), Mohamad Qayyum Abdul Jalil (Senaling), S. Leza Md Yasin (Pilah), Siti Nur Umaira Hasim (Labu), Yap Siok Moy (Rahang), Datuk Thinalan Rajagopalu (Seremban Jaya), Pau Jeou Ching (Chuah), Achutan Alagan (Sri Tanjung) dan Koh Kim Swee (Repah).
Dari segi demografi, calon termuda ialah Mohamad Qayyum Abdul Jalil yang berusia 36 tahun di DUN Senaling serta Siti Nur Umaira Hasim, juga berusia 36 tahun, yang bertanding di DUN Labu.
Calon paling berusia pula ialah Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, 70, yang mempertahankan kerusi Rantau.
Aspek kelayakan akademik turut menjadi perhatian apabila majoriti calon memiliki sekurang-kurangnya ijazah sarjana muda, selain beberapa calon berkelulusan sarjana, diploma, LLB (Kepujian), Sijil Akademi Binaan Malaysia dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Dari sudut kepimpinan parti, kebanyakan calon memegang jawatan penting di peringkat bahagian termasuk ketua bahagian, timbalan ketua bahagian, ketua pemuda, ketua wanita, ketua Puteri, setiausaha bahagian serta ahli jawatankuasa bahagian.
Senarai calon yang diumumkan meliputi DUN Chennah, Pertang, Sungai Lui, Palong, Jeram Padang, Bahau, Lenggeng, Nilai, Temiang, Juasseh, Seri Menanti, Senaling, Pilah, Johol, Labu, Rahang, Seremban Jaya, Chembong, Rantau, Kota, Chuah, Linggi, Sri Tanjung, Gemencheh dan Repah.
Pengumuman ini mencerminkan pendekatan BN yang mengekalkan sebahagian besar penyandang berprestasi.
Ia turut sambil menyuntik pembaharuan menerusi penyertaan beberapa muka baharu dalam usaha mempertahankan penguasaan gabungan itu di Negeri Sembilan pada PRN kali ini. – MalaysiaGazette
















