KUALA LUMPUR – Seorang remaja tempatan ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong bersama tiga kilogram (kg) bunga ganja dipercayai direkrut sindiket sebagai keldai dadah.
Pengarah Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, penahanan suspek disahkan oleh pihak berkuasa Hong Kong.
Tambahnya, semakan mendapati suspek berusia 19 tahun berasal dari Sarawak itu tidak mempunyai rekod kesalahan di Malaysia.
“Pihak Kastam Hong Kong menemukan tiga kilogram (kg) bunga ganja dalam bagasi suspek yang dipercayai direkrut sebagai keldai dadah oleh sindiket.
“Suspek tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong pada 9 Julai lalu sebeum ditahan pihak kastam di sana,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Kastam Hong Kong dilaporkan berkata, suspek tiba dari Kuala Lumpur menerusi Singapura sebelum ditahan ketika pemeriksaan kastam.
Pemeriksaan terhadap bagasi berdaftar lelaki itu menemukan kira-kira tiga kg bahan yang disyaki sebagai bunga ganja bernilai HK$500,000 atau kira-kira RM260,000. – MalaysiaGazette
















