Saifuddin Shafi Muhammad

KUALA LUMPUR – Timbalan Setiausaha Agung Keadilan, Saifuddin Shafi Muhammad menyifatkan kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mempersenda keputusan Datuk Seri Aminuddin Harun bertanding di DUN Linggi sebagai tidak matang dan tidak mencerminkan kedudukannya sebagai seorang menteri dalam Kerajaan Persekutuan.

Menurut beliau, kenyataan Mohamad atau lebih dikenali sebagai Tok Mat itu lebih menyerlahkan watak seorang ‘pembuli politik’ berbanding pemimpin berpengalaman yang sepatutnya mengangkat budaya politik matang dan berhemah.

“Tok Mat tidak sepatutnya memperlekeh keputusan Tok Min bertanding di Linggi. Sebagai seorang menteri Persekutuan, beliau seharusnya berhujah mengenai dasar, rekod pentadbiran dan tawaran kepada rakyat, bukannya mempersenda strategi politik pihak lawan.

“Sikap sedemikian langsung tidak setaraf dengan kedudukan beliau sebagai anggota Kabinet,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Saifuddin berkata, keberanian Aminuddin yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan dan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri bertanding di Linggi membuktikan beliau bersedia menghadapi cabaran baharu, berbeza dengan Mohamad yang terus mempertahankan kubu tradisinya di Rantau.

“Malah Tok Mat hanya menjadi jaguh kampung yang terus bertanding di Rantau walaupun pernah memegang jawatan kanan dalam kerajaan dan parti. Tok Min pula memilih untuk turun ke medan baharu dengan penuh keyakinan,” tegasnya.

Beliau turut membandingkan sikap kedua-dua pemimpin itu ketika pengumuman calon PH Negeri Sembilan semalam.

“Tok Min kekal tenang dan profesional sepanjang pengumuman calon, sedangkan Tok Mat dilihat seolah-olah mahu melepaskan geram selepas cubaan menimbulkan polemik melalui juak-juak UMNO Negeri Sembilan gagal mencapai matlamatnya,” katanya.

Menurut Saifuddin, rekod pentadbiran Aminuddin juga membuktikan Negeri Sembilan berada pada landasan lebih baik menerusi pencapaian dalam aspek pelaburan, pembangunan ekonomi, kebajikan rakyat serta kestabilan pentadbiran berbanding era pentadbiran Mohamad.

Beliau berkata, jika Mohamad benar-benar yakin dengan kekuatan Barisan Nasional (BN), beliau tidak perlu gusar dengan keputusan PH meletakkan calon di mana-mana kerusi kerana setiap percaturan mempunyai strategi tersendiri.

“Kalau Tok Mat benar-benar yakin, tidak perlu risau siapa calon PH atau di mana mereka bertanding. Tumpukan sahaja usaha mempertahankan Rantau.

“Mana tahu, jika nasib tidak menyebelahi beliau, Tok Mat mungkin menjadi Timbalan Presiden UMNO pertama yang tewas di kerusi sendiri,” sindirnya lagi.

Saifuddin turut mengingatkan Mohamad supaya tidak terlalu selesa dengan kerjasama politik yang sedang terjalin bersama Pas.

“Tok Mat juga jangan terlalu selesa dengan kawan baharu. Ingatlah pesanan Presiden UMNO sendiri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi Pas bukan rakan yang boleh dipercayai.

“Jangan kerana mengejar kuasa politik yang bersifat sementara, kepentingan negeri dan negara pula sanggup dipertaruhkan,” katanya.

Sebelum ini, Mohamad ketika mengumumkan calon BN dilaporkan mempersenda keputusan Aminuddin bertanding di DUN Linggi dengan menyifatkan ‘lari’ meninggalkan kerusi tradisinya di Sikamat. -MalaysiaGazette

Ada Orang Itu Lari Dari Sikamat Ke Linggi, Kita Lanyak Habis Habisan! – Tok Mat

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. dia tu kawasan dia, orang kampung dia mesti laa dia nak jaga kawasan dia, bukan pergi sana sini kawasan sendiri taknak jaga, apa punya pemikiran laa kau ni.. rumah kau suruh orang jaga.. sikamat majoriti orang melayu bandar yang dah tahu min ni macam mana.. jadi dia melarikan diri kekawasan kampung2 untuk menagih undi simpati.. #hanyasekadarpandaganrakyatmarhaen

Comments are closed.