KUALA LUMPUR – Pertubuhan Jurugambar Wartawan Selangor (Wajar) dan Persatuan Wartawan Jenayah (CiJA) membantah tindakan sekatan dan halangan dikenakan terhadap pengamal media ketika liputan sebuah program anjuran Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini.
Program itu dihadiri Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay di di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di Shah Alam dekat sini hari ini.
Wajar dan CiJA melihat insiden itu sebagai langkah ke belakang yang mencabul kebebasan media dan menyukarkan tugas hakiki petugas dalam mendapatkan maklumat tepat, telus dan seimbang demi kepentingan awam.
“Isu ini melibatkan sekatan terhadap jurugambar daripada merakam gambar acara dan diarah hanya menggunakan gambar rasmi sekali gus menafikan nilai eksklusiviti serta kebebasan sudut pandang kewartawanan.
“Selain itu, tiada ruang sidang media atau sesi doorstop disediakan menyebabkan wartawan tiada peluang mendapatkan penjelasan lanjut atau mengemukakan soalan kepada pihak berkaitan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, alasan bahawa sekatan itu adalah ‘arahan terus kepimpinan’ amat meragukan dan perlu penjelasan segera supaya nama baik kepimpinan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak disalahgunakan.
“Wajar dan CiJA turut dimaklumkan bahawa pegawai Unit Komunikasi Korporat (UKK) atau petugas lapangan yang mengeluarkan arahan itu dikatakan pernah beberapa kali bertindak tidak profesional serta menyukarkan urusan media,” jelasnya.
Sehubungan itu, PDRM diminta tampil memberi penjelasan sama ada sekatan itu merupakan dasar rasmi atau tindakan individu.
“Mengambil tindakan terhadap pegawai terlibat jika didapati berlaku salah laku dan memastikan SOP liputan media menghormati peranan wartawan dan jurugambar.
“Wajar dan CiJA sentiasa menyokong usaha PDRM menjaga keselamatan negara dan menghargai hubungan baik selama ini. Namun, ia perlu diperkukuhkan atas dasar saling menghormati, profesionalisme dan keterbukaan, bukannya sekatan yang menjejaskan kebebasan media,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















