Datuk Seri R Ramanan pada sidang media ‘Pengumuman Program Fasa 1 Mitra 2026’ di sini hari ini.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri R Ramanan membantah cadangan pembangunan sebuah pusat data (data center) di kawasan perumahan Kota Damansara susulan kebimbangan yang disuarakan penduduk setempat.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh berkata, pihaknya menerima aduan secara langsung daripada penduduk sebelum menghubungi mereka bagi mendapatkan penjelasan lanjut, selain menjalankan penelitian terhadap cadangan pembangunan itu.

Menurutnya, hasil semakan awal mendapati beberapa aspek perlu diberi perhatian termasuk kesesuaian lokasi, kesejahteraan komuniti, impak terhadap infrastruktur sedia ada, alam sekitar serta kualiti hidup penduduk.

Sehubungan itu, Ramanan memaklumkan beliau telah mengemukakan surat bantahan rasmi kepada Datuk Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada 15 Julai lalu bagi menyatakan pendirian membantah cadangan pembangunan berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, sehingga kini tiada sebarang maklum balas rasmi diterima daripada pihak MBPJ berhubung bantahan tersebut.

Beliau turut mendakwa Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sungai Buloh tidak pernah dimaklumkan mengenai cadangan pembangunan itu serta tidak dilibatkan dalam sebarang sesi libat urus atau perbincangan yang melibatkan kepentingan penduduk Kota Damansara.

Katanya, sebarang pembangunan berskala besar yang berpotensi memberi kesan kepada komuniti setempat perlu dilaksanakan secara telus, inklusif dan melibatkan semua pihak berkepentingan termasuk wakil rakyat kawasan.

Dalam pada itu, beliau berkata isu tersebut akan dibawa ke Mesyuarat Jemaah Menteri bagi memberi perhatian terhadap keperluan mewujudkan garis panduan dan mekanisme lebih menyeluruh berhubung penempatan pembangunan pusat data, khususnya yang berhampiran kawasan perumahan.

Ramanan menegaskan beliau bukan menolak pembangunan atau pelaburan yang mampu merangsang pertumbuhan ekonomi negara, sebaliknya mahu setiap projek dilaksanakan berdasarkan fakta, kajian menyeluruh dan proses libat urus yang bermakna dengan semua pihak berkepentingan.

Beliau berkata, pihaknya akan terus memantau perkembangan isu berkenaan bagi memastikan suara penduduk Kota Damansara dibawa ke setiap peringkat sehingga penyelesaian yang adil, telus dan berpaksikan kepentingan rakyat dapat dicapai. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast