MALAYSIA kini berdiri di tepi jurang yang tidak kelihatan, di satu sisi kemajuan pesat pembangunan, di sisi lain ancaman keselamatan yang semakin membimbangkan.
Di sebalik bangunan pencakar langit dan projek mega yang gah, tersembunyi risiko kegagalan struktur yang boleh bertukar menjadi tragedi dalam sekelip mata.
Ini bukan lagi isu kecil, ini adalah soal nyawa.
Sejarah negara telah pun memberi amaran yang jelas dan menyayat hati. Runtuhan Highland Towers pada tahun 1993 bukan sekadar tragedi, tetapi simbol kegagalan sistem yang meragut nyawa dan meninggalkan luka mendalam kepada negara.
Runtuhan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada tahun 2009 pula mengejutkan rakyat, bagaimana sebuah struktur baharu boleh gagal begitu cepat.
Insiden jejantas di Lebuhraya MRR2 dan pelbagai kemalangan di tapak pembinaan terus mengulangi naratif yang sama: kecuaian, kelemahan pemantauan dan kegagalan penyelenggaraan.
Lebih memilukan, tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah pada tahun 2017 membuka mata kita tentang betapa rapuhnya sistem keselamatan bangunan apabila piawaian tidak dipatuhi.

Selain itu, kejadian runtuhan siling di beberapa hospital dan bangunan awam serta kebakaran di kompleks komersial dan kilang seperti kebakaran Hospital Sultanah Aminah pada tahun 2016 turut menonjolkan kelemahan serius dalam aspek keselamatan dan penyelenggaraan bangunan.
Bukan sekadar kisah silam, ini amaran keras masa depan.
Setiap tragedi membawa bersama kehilangan nyawa, kesedihan keluarga dan kerugian besar kepada negara.
Namun yang paling membimbangkan, banyak daripada tragedi ini sebenarnya boleh dicegah.
Dengan sistem yang lebih tersusun, pemeriksaan berkala yang ketat dan penglibatan profesional yang benar-benar berkelayakan, banyak nyawa mungkin dapat diselamatkan.
Namun realitinya, Malaysia masih belum mempunyai Akta Juruukur Bangunan yang khusus.
Ketiadaan akta ini ibarat membina bangunan tanpa asas yang kukuh. Tanpa garis panduan yang jelas, tiada standard seragam, tiada kawalan terhadap kompetensi dan tiada jaminan bahawa setiap bangunan diperiksa secara profesional.
Ini membuka ruang luas kepada kecuaian, dan kecuaian dalam sektor ini boleh membawa maut.
Dalam konteks profesion, Juruukur Bangunan memainkan peranan yang berbeza dan unik berbanding profesion lain dalam industri pembinaan.
Arkitek memberi tumpuan kepada reka bentuk dan estetika bangunan, memastikan fungsi dan keindahan selari dengan kehendak klien.
Jurutera pula bertanggungjawab terhadap aspek teknikal dan struktur, memastikan bangunan kukuh dan selamat dari sudut kejuruteraan.
Juruukur Bahan pula mengurus kos, kontrak dan kewangan projek pembinaan. Sebaliknya, Juruukur Bangunan memberi fokus kepada keseluruhan prestasi bangunan sepanjang kitar hayatnya — termasuk pemeriksaan kecacatan, penyelenggaraan, keselamatan, pematuhan piawaian serta penilaian keadaan bangunan sedia ada.
Mereka bertindak sebagai pihak yang memastikan bangunan bukan sahaja siap dibina, tetapi terus selamat digunakan sepanjang masa.
Perbezaan skop kerja ini menjadikan peranan Juruukur Bangunan amat kritikal dalam mencegah kegagalan bangunan yang sering berlaku selepas pembinaan selesai.
Graduan Juruukur Bangunan juga akan mendapat lebih banyak peluang pekerjaan dan syarikat juruukur bangunan akan berkembang pesat sekali gus membuka lebih banyak peluang kerjaya dalam industri dengan pengubalan akta ini.
Bandingkan dengan negara maju seperti United Kingdom, Australia, Singapura dan Hong Kong.
Mereka telah lama mengiktiraf kepentingan profesion ini dan menguatkuasakan undang-undang yang ketat.
Pemeriksaan bangunan dilakukan secara sistematik, profesional dipantau dengan rapi dan keselamatan menjadi keutamaan.
Hasilnya? Risiko kegagalan struktur dapat dikurangkan secara signifikan.
Malaysia tidak boleh terus berada di belakang dalam hal yang melibatkan keselamatan rakyat.
Setiap hari tanpa akta ini adalah satu perjudian, setiap bangunan yang tidak diperiksa dengan teliti adalah potensi tragedi yang menunggu masa.
Kosnya bukan sekadar wang, tetapi nyawa dan kepercayaan rakyat.
Sudah tiba masanya untuk bertindak, bukan esok, bukan nanti, tetapi sekarang.
Kerajaan perlu segera menggubal dan melaksanakan Akta Juruukur Bangunan. Akta ini bukan sekadar dokumen undang-undang, tetapi benteng keselamatan negara.
Ia akan memastikan hanya profesional yang berkelayakan menjalankan pemeriksaan, menetapkan piawaian yang jelas dan memperkukuh sistem pemantauan bangunan secara menyeluruh.
Ini bukan lagi pilihan, ini adalah keperluan mendesak.
Setiap saat kelewatan meningkatkan risiko tragedi baharu. Malaysia tidak boleh menunggu sehingga satu lagi bencana berlaku untuk bertindak.
Demi keselamatan rakyat, demi masa depan negara, penggubalan Akta Juruukur Bangunan mesti menjadi keutamaan pada waktu dan ketika ini.
Penulis Sr. Ts. Mohd Jamruz Mohd Jamil adalah Juruukur Bangunan Berdaftar.
















