Pemeriksaan dilakukan pihak berkuasa di Network School di Forest City , Iskandar Puteri

ISKANDAR PUTERI – Majlis Bandaraya Iskandar Puteri mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap Network School di Forest City, di sini mengikut bidang kuasa pihak berkuasa tempatan.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, ini termasuk memberi Notis Henti Niaga kepada salah satu premis perniagaan Network School yang beroperasi tanpa lesen perniagaan yang sah walaupun dimiliki seorang warganegara tempatan.

“Hasil pemeriksaan mendapati syarikat beroperasi di dua premis, di mana satu premis mempunyai lesen pejabat urusan yang sah, manakala satu lagi premis didapati beroperasi tanpa lesen perniagaan MBIP walaupun dimiliki oleh seorang warganegara tempatan.

“Selain daripada itu, pihak syarikat juga didapati telah melanggar jenis perniagaan yang dibenarkan iaitu pejabat urusan dan menggunakannya sebagai ruang kelas serta promosi perniagaan yang tidak dikemukan permohonan secara terperinci,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu katanya, MBIP turut mengeluarkan Notis Lesen Iklan (6103) mengikut Seksyen 107(2), Akta Kerajaan Tempatan 1976 kerana mempamerkan papan iklan yang tidak mematuhi syarat dan tidak selaras dengan kelulusan yang telah diberikan.

Tegas beliau,MBIP akan meneruskan siasatan terhadap Network School dari segenap aspek yang berada di bawah bidang kuasanya.

“Sekiranya didapati terdapat pelanggaran undang-undang, syarat lesen atau peraturan yang berkuat kuasa, tindakan penguatkuasaan lanjut akan diambil mengikut peruntukan undang-undang,” katanya lagi.

Onn Hafiz sekali lagi menegaskan, Kerajaan Johor menggesa kerajaan Persekutuan memberikan keputusan yang segera, jelas dan muktamad berhubung status individu terlibat serta operasi Network School di Forest City di sini.

Ini kerana isu melibatkan Network School iaitu sebarang perkara berkaitan kemasukan warga asing ke negara ini adalah tertakluk di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN). -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast