KUALA LUMPUR – Pengamal media perlu menjaga integriti dan etika serta soal jati diri dalam mengejar penguasaan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkembanan itu penting kerana negara berisiko ‘tergelincir’ jika tidak berwaspada terhadap ancaman kemajuan teknologi.
Bagaimanapun katanya, prinsip kewartawanan seperti kebenaran, kebebasan dan tanggungjawab juga tidak boleh diketepikan.
“Harus sentiasa diperingatkan, nasihat, dalam mempertahankan keperluan kebebasan teknologi maklumat dan digital, serta kecerdasan buatan, dalam masa sama, teknologi baru itu tidak harus miskin dan gersang dari segi nilai. Ini juga satu perkara yang perlu dikupas oleh kolumnis-kolumnis semasa.
“Saya percaya kerajaan menerusi Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil turut bertanggungjawab bersama MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) dapat membantu bagi pihak media.
“Kita akan mendengar pandangan dan menerima teguran dengan baik kerana dalam hal ini, negara tidak boleh berpecah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Malam Wartawan Malaysia 2026 dan Hadiah Kewartawanan Institut Akhbar Malaysia (MPI) – PETRONAS 2026 di sini.
Hadir sama Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, dan Presiden Institut Akhbar Malaysia (MPI), Datuk Yong Soo Heong.
Tambah Anwar, perkembangan teknologi digital teknologi kini membawa kekuatan baharu kepada industri media, namun ia hadir dengan cabaran yang perlu ditangani secara bijaksana.
“Hari ini ada orang-orang media kita berbicara tentang keperluan mencapai teknologi baharu, tetapi berwaspada tentang kehilangan jati diri untuk menjaga nilai dan akhlak. Ini dibahaskan secara serius terutama dengan adanya teknologi ini,” jelasnya.
Ujar beliau, jika dahulu dunia berdepan pengaruh media yang dikuasai kuasa Barat, kini masyarakat pula berhadapan cabaran baharu apabila teknologi digunakan sebagai instrumen mempengaruhi pemikiran.
“Kalau dulu ‘captive mind’ itu diutarakan oleh pusat alat itu adalah pandangan yang disempitkan oleh teknologi yang tertentu. Sekarang ‘captive mind’ ini adalah teknologi termasuk digitalisation tadi.
“Negara terpaksa bergerak untuk menguasai teknologi baharu, tapi negara harus juga ingat, asal teknologi baharu itu tidak miskin dan gersang dari segi nilai. Bagaimana kita harus memenuhi keperluan teknologi baharu untuk mempertahankan nilai dan akhlak,” katanya.
















