SEGAMAT – Polis memohon bantuan orang ramai untuk mengesan seorang lelaki tempatan yang dilaporkan hilang dari kediamannya di Kampung Seri Tuah, Bukit Mambai, di sini sejak tiga hari lalu.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Mohd Jumazan Zahir Chek berkata, Mohammad Rihan Md Noh yang berusia 43 tahun masih belum ditemukan sehingga kini.
“Laporan polis mengenai kehilangan mangsa dibuat pada pukul 2.37 petang tadi di Balai Polis Tenang, Labis dekat sini.
“Kali terakhir mangsa dilihat adalah kira-kira pukul 6 petang Selasa lalu semasa berada di meja di hadapan rumahnya.
“Ketika itu, mangsa dilaporkan memakai jersi berwarna kuning dan oren dengan seluar tracksuit berwarna hitam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. Beliau berkata, Mohammad Rihan mempunyai ketinggian 170 sentimeter, berat 67 kilogram selain kurus, berkulit kuning langsat, berambut hitam lebat. mempunyai misai dan berjanggut nipis.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau ternampak individu dengan ciri-ciri tersebut diminta segera menghubungi Ketua Polis Balai Tenang, Sarjan Mejar Shamsuddin Ramli 07-9279222 atau menyalurkan maklumat kepada balai polis yang berhampiran.- MalaysiaGazette
















