NILAI – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa Pas membiarkan parti itu “terkontang-kanting” apabila gagal meneruskan rundingan pembahagian kerusi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Beliau berkata, Pas pada mulanya memanggil mesyuarat bagi membincangkan agihan kerusi, namun perbincangan itu tidak diteruskan sehingga menyebabkan Bersatu diketepikan daripada proses membuat keputusan.
“Dah habis PRN Johor, tinggal beberapa hari sahaja sebelum PRN Negeri Sembilan, mereka panggil mesyuarat kononnya nak bincang pembahagian kerusi.
“Tetapi mesyuarat itu tidak berlangsung kerana tidak dapat diputuskan. Sepatutnya adakan mesyuarat lagi, tetapi mereka tidak buat.
“Mereka berunding sesama sendiri dan tinggalkan kita begitu sahaja. Terkontang-kanting kita dibuatnya,” katanya ketika mengumumkan calon Bersatu bagi PRN Negeri Sembilan.
Muhyiddin turut mempersoalkan tindakan kepimpinan Perikatan Nasional (PN) yang didakwanya membuat rundingan dengan parti lain tanpa melibatkan semua parti komponen gabungan itu.
Menurutnya, Bersatu sehingga kini masih merupakan parti pengasas dan ahli sah PN, justeru sebarang keputusan sepatutnya diputuskan secara bersama.
“Hari ini pun kalau kita bertanding atas logo Perikatan Nasional, kita masih ahli PN. Ini bukan parti Pas semata-mata. Semua parti dalam PN mempunyai hak yang sama dan tidak boleh dipinggirkan,” katanya.
Dalam masa sama, beliau sekali lagi menolak dakwaan Pas bahawa Bersatu menjadi punca keretakan hubungan antara kedua-dua parti, termasuk berkaitan isu di Perlis dan Negeri Sembilan.
Sebaliknya, Muhyiddin mendakwa segala tuduhan yang dilemparkan terhadap Bersatu tidak berasas dan hanya bertujuan mencari alasan untuk menyingkirkan parti itu daripada PN.
Beliau turut mendakwa tindakan serta kenyataan pemimpin Pas sebelum ini telah menjejaskan imej PN sehingga gabungan tersebut ditolak pengundi pada PRN Johor, sekali gus menyebabkan semua calon bertanding di bawah logo gabungan itu tewas. – MalaysiaGazette















