JOHOR BAHRU – Seorang remaja perempuan Rohingya melahirkan bayi dalam tandas bilik sebuah hotel di Bukit Indah di sini pada 5 Julai lalu sebelum membungkus janin dalam plastik hitam dan mencampakkannya dari tingkat dua.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, perbuatan tersebut terbongkar selepas pihak polis menemukan janin tersebut.
“Hasil siasatan mendapati janin yang ditemukan dalam plastik berhampiran Taman Nusa Idaman pada 5 Julai lalu merupakan anak kepada suspek berusia 19 tahun itu. Bayi berkenaan dilahirkan hasil hubungan suspek dengan bekas teman lelakinya.
“Siasatan mendapati suspek telah melahirkan bayi tersebut di dalam tandas bilik hotel berdekatan sebelum memasukkannya ke dalam beg plastik warna hitam dan membuangnya melalui tingkap bilik di tingkat dua hotel ke lorong di bawah bangunan hotel, iaitu lokasi bayi itu ditemukan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, sebelum itu polis menerima maklumat mengenai penemuan bayi berkenaan pada pukul 2.39 pagi, 5 Julai lalu.
Susulan itu, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun di lokasi penemuan bayi serta wanita terbabit di sebuah hotel di kawasan Bukit Indah pukul 4 pagi hari yang sama.
“Kedua-dua suspek didapati negatif dadah hasil ujian saringan air kencing. Semakan rekod jenayah pula mendapati suspek lelaki mempunyai dua rekod lampau membabitkan kes jenayah dan dadah, manakala suspek wanita tidak mempunyai sebarang rekod jenayah,” katanya.
Kumarasan berkata, hasil siasatan dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Johor yang mengarahkan wanita itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Suspek lelaki pula dijadikan sebagai saksi pendakwaan,” katanya.
Beliau berkata, wanita berkenaan akan didakwa di Mahkamah Johor Bahru hari ini.
Menurutnya, polis turut menasihatkan orang ramai supaya tidak bertindak mengikut emosi dan tidak terjebak dengan perlakuan jenayah serta menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah kepada pihak berkuasa. – MalaysiaGazette
















