SEREMBAN – Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan menunaikan solat Jumaat bersama rakyat di Masjid Kariah Pantai di sini tengah hari ini.
Keberangkatan baginda disambut oleh barisan kepimpinan negeri, pegawai kerajaan serta ahli jawatankuasa masjid sebelum sama-sama menunaikan ibadah solat Jumaat bersama ratusan jemaah yang memenuhi ruang solat masjid berkenaan.
Baginda yang mengenakan baju Melayu berwarna ungu lengkap bersamping dan bersongkok dilihat mengikuti khutbah serta menunaikan solat dalam suasana penuh khusyuk bersama para jemaah.
Usai solat Jumaat, Tuanku Muhriz berkenan meluangkan masa beramah mesra dengan rakyat yang hadir termasuk bersalaman dengan para jemaah daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Suasana bertambah mesra apabila baginda turut menyantuni kanak-kanak yang hadir ke masjid dengan menghulurkan sumbangan sebagai tanda keprihatinan dan kasih sayang terhadap golongan muda.

Keberangkatan Tuanku Muhriz ke Masjid Kariah Pantai turut mencerminkan hubungan erat institusi diraja Negeri Sembilan dengan rakyat, selain mengimarahkan institusi masjid sebagai pusat penyatuan ummah.

Selepas kira-kira lapan minit beramah mesra dan menyampaikan sumbangan kepada jemaah kanak-kanak, baginda berangkat meninggalkan masjid.
Keberangkatan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan itu berlangsung dalam suasana penuh tertib, mesra dan harmoni sekali gus meninggalkan kenangan bermakna kepada para jemaah yang hadir menunaikan solat Jumaat bersama baginda. – MalaysiaGazette
















