TANGKAK – Seorang pembantu kedai alat tulis kerugian RM91,750 akibat terpedaya sindiket penipuan melalui telefon yang menyamar sebagai pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan pegawai polis.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superitendan Roslan Mohd Talib berkata, mangsa merupakan seorang wanita tempatan berusia 37 tahun membuat laporan polis hari ini mendakwa menjadi mangsa penipuan sindiket terbabit.
Menurut beliau, taktik licik sindiket bermula apabila mangsa dihubungi individu tidak dikenali pukul 8.44 pagi semalam yang menuduhnya terlibat dalam satu kes pengubahan wang haram.
“Suspek kemudiannya memperdaya mangsa untuk membuat bayaran dengan alasan kononnya bagi tujuan audit oleh pihak Bank Negara.
“Suspek sebelum itu memperkenalkan diri serta menyamar sebagai pegawai SKMM dan pegawai polis,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, akibat termakan helah tersebut, mangsa melakukan 10 transaksi pemindahan wang ke dalam tiga akaun berbeza yang disyaki sebagai mule account (akaun keldai) seperti mana yang diarahkan suspek.
Tambah Roslan, wang berkenaan adalah hasil daripada jual tanah dan kes tersebut kini sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, pelaku boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun, selain boleh dikenakan sebat dan denda.
Beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah panik atau terpedaya dengan panggilan yang mendakwa mereka terlibat dalam sebarang kegiatan jenayah.
“Orang ramai diseru untuk membuat semakan terlebih dahulu dengan pihak berkuasa sebagai langkah berhati-hati bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan.
“Masyarakat juga dinasihatkan supaya sentiasa mendapatkan maklumat terkini berkaitan modus operandi scam melalui akaun media sosial rasmi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) di platform Facebook, Instagram, dan TikTok,” ujarnya.
Sekiranya orang ramai mendapati diri mereka menjadi mangsa penipuan, mangsa diminta terus menghubungi National Scam Response Centre (NSRC) talian 997 dengan kadar segera untuk tindakan menyekat aliran wang dari akaun suspek.- MalaysiaGazette
















