Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar

KUALA LUMPUR –  Enam individu termasuk seorang wanita ditahan kurang 48 jam selepas menculik seorang lelaki dan meminta wang tebusan sebanyak RM7 juta dalam satu operasi khas di Selangor, awal pagi tadi.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, polis juga berjaya menyelamatkan mangsa.

Menurut beliau, operasi tersebut dilancarkan selepas polis menerima laporan daripada isteri mangsa yang berusia 46 tahun pada pukul 1.30 pagi semalam, yang memaklumkan suaminya telah diculik dan suspek menuntut wang tebusan.

“Melalui usaha bersama JSJ Bukit Aman dan JSJ Selangor, mangsa berjaya diselamatkan dalam tempoh kurang 48 jam dari sebuah unit kediaman di kawasan I-City, Shah Alam, Selangor pada pukul 1 pagi tadi.

“Dalam operasi itu, polis turut menahan lima lelaki dan seorang wanita berusia antara 30 hingga 46 tahun bagi membantu siasatan. Kesemua mereka direman selama 10 hari mengikut Seksyen 12 Akta Culik 1961,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kumar berkata polis turut merampas pelbagai jenis dadah, telefon bimbit dan beberapa kenderaan yang dipercayai digunakan dalam kegiatan jenayah tersebut.

Beliau berkata siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti individu lain yang terlibat, mengenal pasti motif penculikan serta menentukan sama ada suspek mempunyai kaitan dengan rangkaian jenayah yang lebih besar.

Kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Culik 1961 dan Akta Dadah Berbahaya 1952. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast