PORT DICKSON – Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun menyifatkan Pakatan Harapan (PH) mempunyai potensi lebih baik untuk membentuk kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, 1 Ogos ini.
Beliau yang juga calon PH di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi turut menyifatkan persaingan semua parti yang bertanding bagi merebut keseluruhan 36 kerusi DUN di negeri itu kini adalah terbuka.
“Kita (Negeri Sembilan) tak sama dengan tempat lain. Ini `negeri kito, cara kito’,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas proses penamaan calon bagi kesemua lima kerusi DUN di bawah Parlimen Port Dickson sempena PRN Negeri Sembilan ke-16 di Auditorium Kompleks Pentadbiran Daerah Port Dickson di sini, hari ini.
Aminuddin akan bertanding merebut kerusi DUN Linggi dalam persaingan tiga penjuru menentang calon Barisan Nasional (BN) yang juga penyandang, Datuk Mohd Faizal Ramli dan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Zamri Md Said.
Sementara itu, Aminuddin mengakui beliau berdepan tugas sukar dan berat untuk merampas DUN Linggi yang diketahui merupakan kubu kuat UMNO dan BN.
Namun, ujarnya, beliau bersedia berdepan cabaran itu ketika menawarkan diri kepada pucuk pimpinan parti untuk berhijrah dari DUN Sikamat dan bertanding di Linggi.
“Ini adalah kubu Barisan Nasional, jadi saya pasti banyak cabarannya.
“Saya tak kata itu mudah, tetapi ini satu cabaran. Dan saya sendiri menawarkan diri kepada kepimpinan untuk turun ke DUN Linggi. Mereka banyak kali bertanya, “MB okey ke tak?” Saya kata, “Saya cuba.”
“Dan saya kena berani untuk memperjuangkan Pakatan Harapan di DUN ini,” katanya.

Sementara itu, ditanya berkenaan persaingan tiga penjuru yang dihadapinya, Aminuddin menegaskan, ia tidak memberi apa-apa perbezaan memandangkan beliau bertanding di kubu kuat UMNO-BN.
Kepada soalan berkenaan agenda yang akan dibawa sekiranya berjaya memenangi Linggi, Aminuddin berkata, sebuah pelabuhan dan kawasan perindustrian merupakan antara pembangunan yang dirancang di DUN tersebut.
“Insya-Allah, ini satu pembaharuan dalam DUN ini sejak sekian lama, walaupun itu kubu kuat UMNO-Barisan Nasional.
“Saya bukan nak berjanji, saya akan melaksanakan.
“Apa yang kita laksanakan hari ini sudah terbukti ketika saya sebagai Ahli Parlimen, dan sebelum itu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ahli Parlimen di sini,” katanya. – MalaysiaGazette
















