Mohamad ketika ditemui selepas proses penamaan calon di DUN Rantau hari ini.

REMBAU – Pertandingan dua penjuru di Dewan Undangan Negeri (DUN) N27 Rantau menyaksikan pertembungan di antara Datuk Seri Mohamad Hasan dari Barisan Nasional (BN) dan calon Pakatan Harapan (PH) Dr Azizul Hakim Mahdi.

Mohamad yang juga penyandang kerusi berkenaan akan cuba mempertahankan kawasan tersebut yang dipegang sejak 2004.

DUN Rantau mempunyai seramai 32,139 orang pemilih berdaftar.

Daripada jumlah tersebut, pecahan umur terbesar melibatkan pengundi berusia antara 30 hingga 39 tahun.

Pertandingan dua penjuru di DUN N27 Rantau antara Datuk Seri Mohamad Hasan dari BN (kanan) dan calon PH Dr Azizul Hakim Mahdi (kiri).

Dalam pada itu, Mohamad yang lebih mesra disapa Tok Mat berkata, semua calon BN diharap agar tidak mengheret isu adat ke dalam pentas politik sepanjang tempoh berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 ini.

“Kepentingan adat perlu sentiasa dihormati dan tidak wajar dijadikan modal atau bahan kempen semata-mata untuk meraih undi.

“Tindakan mencampuradukkan adat dengan politik hanya akan memburukkan lagi keadaan serta mewujudkan suasana kempen yang tidak sihat.

“Saya dah terangkan, pesan dan minta supaya dalam masa kempen ini, kita jangan sentuh kepentingan adat. Adat perlu kita hormati kerana adat ini dia bersendirian.

“Jangan kita campur adukkan dalam politik terutamanya semasa kita berkempen kerana ini akan mengusutkan lagi keadaan,” katanya selepas selesai proses penamaan calon hari ini di Dewan Sri Rembau, hari ini.

Bagi memastikan kemenangan BN dan rakan kerjasama, semua pihak perlu fokus kepada gerak kerja jentera yang tersusun bagi mendekati para pengundi di kawasan berkenaan.

Sementara itu, Mohamad turut memaklumkan tidak dapat berada di kawasan DUN Rantau bermula Isnin hingga Khamis ini ekoran tuntutan tugasan negara di luar negara.

“Saya terpaksa pergi ke Manila untuk menghadiri dan mewakili negara untuk mesyuarat ASEAN bagi Ketua ASEAN. Banyak mesyuarat penting untuk kita sekarang dalam geopolitik dunia yang tak menentu.

“Malaysia merupakan negara penyelaras dengan China, jadi saya perlu menguruskan mesyuarat-mesyuarat yang berkaitan untuk kita pastikan suara, kepentingan, kedaulatan dan hak kedaulatan Malaysia akan terus dapat kita pertahankan, insya-Allah,” katanya.

Ditanya mengenai strategi di kawasan yang tidak ditandingi BN, Mohamad menjelaskan, formula yang digunakan adalah berasaskan persefahaman bersama rakan gabungan kerajaan, bukannya penggabungan parti.

“Saya berharap agar semua pihak dalam komponen kerajaan di Negeri Sembilan dapat mengamalkan sikap bantu-membantu.

“Ini bagi memastikan sokongan padu daripada pengundi dapat diterjemahkan dalam bentuk undi,” katanya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast