JEMPOL – Kerjasama politik yang mempertemukan calon-calon Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan disifatkan sebagai medan menguji formula penyatuan Melayu dan Islam.
Ia sekali gus berpotensi menjadi asas kepada jajaran politik baharu menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16), kata Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata, kepimpinan menyeru pengundi memberikan sokongan kepada calon BN dan PN dengan menyifatkan pilihan raya kali ini sebagai peluang untuk ‘membetulkan keadaan’ di peringkat negeri sebelum diterjemahkan pada skala nasional.
“Kali ini jangan menyesal lagi. Kita mesti menyokong calon-calon Barisan Nasional (BN) dan juga Perikatan Nasional (PN). Kalau mahu penyatuan Melayu dan Islam, inilah waktunya kita mendukung calon-calon daripada BN dan PN,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media sejurus Program Gerakan Massa Masyarakat Desa (GEMA@KKDW) di Felda Palong 8 di sini hari ini.
Hadir sama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.
Ahmad Zahid menegaskan, kerjasama tersebut bukan bertujuan menentang Kerajaan Persekutuan sebaliknya menghormati komitmen UMNO dan BN yang terus menyokong Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga tamat penggal.
“Kita tidak pernah tebuk atap. Kita sokong kerajaan yang ada, kita sokong Perdana Menteri yang ada kerana UMNO dan BN telah berjanji akan mendukung Kerajaan Perpaduan sehingga akhir penggal,” katanya.
Namun, beliau memberi bayangan landskap politik selepas PRU-16 masih terbuka kepada pelbagai kemungkinan sekiranya berlaku perubahan di peringkat Persekutuan.
“Jika kerajaan Persekutuan terbubar satu hari nanti, maka terpulang kepada UMNO dan BN untuk menentukan jajaran baharu demi membetulkan kepincangan yang ada pada kerajaan sekarang,” tambahnya.
Ahmad Zahid berkata buat masa ini kerjasama tersebut hanya berasakan persefaham tanpa ikatan perjanjian bagi mengelak pertindihan kerusi.
Dalam perkembangan sama, Presiden UMNO itu mengesahkan bahawa model kerjasama yang sedang diamalkan di Negeri Sembilan dan Melaka akan dijadikan rujukan dalam merangka strategi lebih besar menjelang PRU-16.

Menurutnya, prestasi kerjasama di peringkat negeri akan dinilai terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan mengenai pembentukan jajaran politik baharu dibuat.
“Kita akan lihat prestasinya di negeri. Politik ini sangat dinamik, maka kita akan menyusun jajaran yang diperlukan untuk Melaka dan negeri-negeri lain apabila kita menghadapi PRU ke-16,” katanya.
Pendekatan itu menggambarkan strategi yang berteraskan keberkesanan operasi di lapangan, dengan kepimpinan memilih untuk mencontohi model yang menunjukkan prestasi baik sebelum diperluaskan ke negeri lain.
Jelasnya keputusan mengenai kerjasama politik masa depan tidak akan ditentukan semata-mata berdasarkan sentimen semasa sebaliknya bergantung kepada prestasi sebenar di negeri sebagai kayu ukur sebelum jajaran baharu dimuktamadkan menjelang PRU-16.
Hari ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan seramai 103 calon yang menyerahkan kertas penamaan calon layak bertanding bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16.
BN mempertaruhkan sebanyak 25 kerusi manakala selebihnya terdiri daripada calon PN.
Tarikh pengundian ditetapkan pada 1 Ogos nanti manakala undi awal pada 28 Julai ini. – MalaysiaGazette
















