KUALA LUMPUR – Lelaki yang dikehendaki polis bagi membantu siasatan kes merosakkan objek suci agama Hindu di Langkawi, Tamim Dahri Abdul Razak, muncul depan Ibu Pejabat Polis, IPD, Port Dickson, hari ini.
Katanya, beliau akan menyerahkan diri kepada polis selepas membantu kempen calon Bebas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Tanjung, Islah Wahyudi Zainuddin yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri Sembilan ke-16 (PRN16).
“Hari ni saya nak menyerahkan diri saya ke pihak polis selama lima bulan saya dekat luar negara, tapi hari ni saya membuat keputusan datang ke Port Dickson hendak membantu kempen Islah Wahyudi atau dikenali sebagai Randuk.
“Dia bertanding akan bertanding di DUN Sri Tanjung, melawan empat wakil India daripada Pakatan Harapan, Perikatan Nasional dan wakil bebas,” jelasnya dalam satu perkongsian video di media sosial.
Tambahnya, beliau sebelum itu berhasrat untuk menyerah diri di balas polis di Kelantan namun memutuskan untuk tampil di Negeri Sembilan bagi membantu calon bebas berkenaan.
ARTIKEL BERKAITAN
https://malaysiagazette.com/2026/07/18/tamim-dahri-akan-dibawa-ke-mahkamah-seremban-esok-polis/
“Tapi saya datang saat akhir dengan kos yang besar. Tapi insya-Allah lah, esok saya akan dihadapkan dekat mahkamah untuk sebutan semula kes. Jadi itu sahajalah. Kita jumpa lagi mungkin dua tahun akan datang,” katanya.
Sebelum mengakhiri video berkenaan, Tamim secara sinis melontarkan pertanyaan sekiranya ada Polis Antarabangsa (Interpol) di kawasan itu.
Terdahulu media melaporkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengemukakan permohonan kepada Interpol pada 8 Jun lalu bagi mengeluarkan notis merah terhadap Tamim Dahri.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, permohonan itu dibuat selepas PDRM turut memohon pembatalan pasport suspek sebagai sebahagian daripada usaha mengesan keberadaannya.
Pada 17 Mac lalu, media melaporkan Mahkamah Majistret Langkawi, Kedah menangguhkan prosiding pertuduhan terhadap Tamim Dahri selepas dimaklumkan bahawa dia dikesan berada di Riyadh, Arab Saudi.
Pada 17 Mei lalu, mahkamah mengeluarkan waran tangkap ke atas suspek.
Tamim Dahri berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana didakwa merosakkan simbol suci penganut Hindu, di tapak lama sebuah kuil di Langkawi.-Malaysia Gazette
















