SEREMBAN – Ketua Polis Negeri Sembilan mengesahkan aktivis Tamim Dahri yang disyaki membuat ugutan jenayah menerusi Facebook sudah menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson hari ini selepas dipercayai melarikan diri ke Thailand dari Mac lepas.
Datuk Alzafny Ahmad dalam kenyataannya berkata, lelaki tempatan berusia 33 tahun itu hadir menyerah diri pada 12.45 tengah hari selepas berada di Thailand selama lebih empat bulan.
“Polis menerima laporan daripada seorang lelaki pada 6.25 petang 10 Mac mendakwa diugut di laman sosial tersebut oleh suspek.
“Usaha dijalankan bagi mengesan suspek di Kajang, Selangor namun dia dipercayai melarikan diri ke Thailand melalui Bukit Kayu Hitam pada 9 Mac sebelum memasuki Malaysia melalui jalan tidak sah di sempadan Kelantan dan menyerah diri,” katanya.
Alzafny berkata suspek akan dibawa ke Mahkamah Seremban esok untuk mendapatkan perintah reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Terdahulu Malaysia Gazette melaporkan, Tamim menerusi live di media sosial muncul depan Ibu Pejabat Polis, IPD, Port Dickson, hari ini.
Katanya, beliau akan menyerahkan diri kepada polis selepas membantu kempen calon Bebas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Tanjung, Islah Wahyudi Zainuddin yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri Sembilan ke-16 (PRN16). -MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
















