JOHOL – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berpandangan amaran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya anggota pentadbiran tidak menyerang rakan dalam Kerajaan Perpaduan ketika berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) sebagai tidak perlu kerana kempen sepatutnya memberi tumpuan kepada isu negeri.
Beliau berkata, PRN adalah platform untuk parti menawarkan hala tuju dan dasar bagi membangunkan negeri, bukannya medan serang-menyerang antara parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
“Saya percaya sebenarnya tak perlu kerana ini pilihan raya peringkat negeri dan sewajarnya perkara yang ada kaitan dengan negeri serta hala tuju negeri diberi tumpuan.
“Seperti yang ditekankan Presiden UMNO yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), kempen BN perlu dijalankan secara berhemah kerana kita mahu rakyat membuat pertimbangan yang baik, yang tepat kerana keputusan mereka akan mempengaruhi masa depan kehidupan mereka.
“Jadi tak perlu menggunakan pendekatan yang boleh menyakitkan hati ataupun memburuk-burukkan antara satu sama lain,” katanya selepas hadir pelancaran jentera BN Johol malam ini.
Mengulas gesaan Angkatan Muda Keadilan (AMK) supaya menteri dan timbalan menteri daripada BN meletakkan jawatan susulan kerjasama BN dengan Pas pada PRN Negeri Sembilan, Khaled berkata perkara itu adalah hak Perdana Menteri selaku pihak yang melantik anggota pentadbiran.
“Saya percaya, seperti saya kata, itu soal pelantikan menteri, timbalan menteri. Semua boleh bincang. Kalau orang dah tak suka, buat apa nak tunggu.
“Kita tahu soal pelantikan menteri adalah budi bicara perdana menteri. Jadi tak payahlah suruh mana-mana menteri letak jawatan dan sebagainya. Cakap sajalah dengan ketua parti mereka,” tegasnya.
Terdahulu, Anwar memberi amaran kepada semua menteri, timbalan menteri dan pemegang jawatan dalam agensi kerajaan supaya tidak menggunakan kedudukan mereka untuk menyerang rakan dalam Kerajaan Perpaduan sepanjang kempen PRN.
Beliau berkata mana-mana pihak yang berbuat demikian akan diminta berundur daripada jawatan yang disandang. -MalaysiaGazette
















