Dr. Akmal Saleh

 

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Saleh menegaskan pendirian sayap itu yang mahu UMNO keluar daripada Kerajaan Perpaduan masih kekal sehingga hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas gesaan Angkatan Muda Harapan (AMH) yang menggesa semua menteri daripada Barisan Nasional (BN) meletakkan jawatan daripada Kabinet selepas gabungan itu memilih bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.

AMH mendakwa, tindakan BN itu menimbulkan persoalan terhadap kesetiaannya dalam Kerajaan Perpaduan selain disifatkan bercanggah dengan semangat kerjasama yang dipersetujui bersama Pakatan Harapan (PH).

Namun, kata Akmal, AMH juga perlu buat desakan sama kepada parti-parti lain yang pernah bertanding menentang Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya sebelum ini meskipun masih menjadi sebahagian daripada kerajaan.

“Sebagaimana pendirian Pemuda UMNO sebelum ini yang mahu UMNO keluar daripada kerajaan perpaduan, begitulah juga pendirian kami kekal hingga ke hari ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Akmal turut mencabar Pemuda PH supaya mendesak Parti Warisan (Warisan) keluar daripada kerajaan susulan tindakan parti itu bertanding menentang PH pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah sebelum ini.

Tindakan sama turut perlu dilakukan terhadap Gabungan Parti Sarawak (GPS) sekiranya gabungan itu bertanding menentang PH pada PRN Sarawak akan datang.

“Saya minta Pemuda PH mendesak juga parti Warisan di Sabah untuk keluar kerana mereka juga melawan PH ketika PRN Sabah yang lepas, yang mana ketika itu mereka adalah sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan.

“Dan jika selepas ini berlakunya PRN Sarawak dan GPS bertanding melawan PH, desak juga GPS untuk keluar daripada Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Jika tidak, kata Akmal, beliau mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya buang semua menteri dan timbalan menteri daripada BN, Warisan serta GPS.

“Sila sahut cabaran ini,” katanya. – MalaysiaGazette

AMH desak menteri, timbalan menteri BN berundur susulan kerjasama dengan PN

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast