KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Harapan (AMH) hari ini menggesa semua Menteri dan Timbalan Menteri daripada Barisan Nasional (BN) meletakkan jawatan daripada Kabinet selepas gabungan itu memilih bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.
AMH mendakwa tindakan BN itu menimbulkan persoalan terhadap kesetiaannya dalam Kerajaan Perpaduan selain disifatkan bercanggah dengan semangat kerjasama yang dipersetujui bersama Pakatan Harapan (PH).
Menurut kenyataan bersama empat sayap pemuda PH, kerjasama terbuka BN dengan PN menunjukkan gabungan itu lebih cenderung membina jajaran politik baharu berbanding mempertahankan Kerajaan Perpaduan.
AMH turut mempersoalkan kenyataan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menyifatkan sokongan pengundi kepada calon BN dan PN pada PRN kali ini sebagai medan menguji formula kerjasama yang berpotensi diperluaskan menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
“Dengan pengakuan itu, kerjasama BN-PN tidak lagi boleh dianggap sekadar sementara atau taktikal sebaliknya memberi gambaran wujud persediaan ke arah kerjasama politik yang lebih besar,” menurut kenyataan itu hari ini.
AMH berkata, pendirian tersebut sukar difahami memandangkan BN masih memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri serta beberapa portfolio menteri dan timbalan menteri dalam Kerajaan Perpaduan.
Pada masa sama, mereka mengingatkan PH tetap memberikan ruang kepada BN dalam pentadbiran negeri Pulau Pinang dan Selangor selepas PRN 2023 apabila memperuntuk jawatan Exco sebagai menghormati semangat Kerajaan Perpaduan.
Sehubungan itu, AMH berpandangan, semua menteri dan timbalan menteri daripada BN wajar berundur bagi membolehkan parti itu memberi tumpuan sepenuhnya kepada kerjasama politik dengan PN tanpa menjejaskan pentadbiran Kerajaan Persekutuan.
Menurut AMH, langkah itu juga dapat mengelak kekeliruan rakyat terhadap pendirian sebenar BN serta mengurangkan risiko sebarang percaturan politik yang boleh menggugat kestabilan kerajaan.
“Kami percaya rakyat mahukan kerajaan yang memberi tumpuan kepada ekonomi, pelaburan, perpaduan dan kebajikan rakyat, bukannya terus disibukkan dengan percaturan politik sempit,” katanya.
Kenyataan bersama itu ditandatangani Ketua Penerangan Angkatan Muda Harapan merangkap Naib Ketua Pemuda Amanah Nasional, Ammar Atan; Setiausaha Publisiti DAPSY Kebangsaan, Ho Chi Yang; Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan, Danish Hairudin; dan Pengarah Biro Komunikasi WARDA, Syazana Nasir. -MalaysiaGazette

















kenapa tak suruh BN tarik sokongan ke kerajaan? takut ke kerajaan madani hancur?