SEREMBAN – Manifesto Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dijangka memberi keutamaan kepada usaha memperkukuh ekonomi rakyat atau isu yang menyentuh secara langsung kos sara hidup dan kesejahteraan kehidupan.
Calon PH bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Labu, Datuk Ahmad Faez Abdul Razak berkata, antara teras utama manifesto ialah memperkasakan ekonomi rakyat, selain memberi penekanan kepada aspek pendidikan dan agama.
“Antara isi manifesto ialah melibatkan ekonomi rakyat atau perut rakyat untuk memperkasakan ekonomi rakyat. Selain itu, ia turut memberi fokus kepada pendidikan dan agama. Ini adalah dasar-dasar yang perlu kita angkat dalam Kerajaan Negeri Sembilan,” katanya ketika ditemui pada kempen walkabout di Kampung Gadong Jaya hari ini.

Beliau berkata, manifesto itu juga dijangka memperkenalkan lebih banyak inisiatif baharu kerajaan negeri bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Dalam pada itu, Ahmad Faez berkata, pembangunan Malaysia Vision Valley (MVV) kekal menjadi antara agenda penting kerana kawasan itu kini berkembang sebagai hab perindustrian terbesar di Negeri Sembilan.
Katanya, komitmen kerajaan negeri berjaya menarik ramai pelabur untuk melabur di kawasan berkenaan sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan merancakkan ekonomi setempat.

Mengulas kempen hari kedua, beliau menyifatkan penerimaan pengundi di DUN Labu amat positif termasuk di Kampung Gadong AC yang sebelum ini dianggap kubu kuat UMNO Barisan Nasional (BN).
Menurutnya, hasil kunjungan ke kira-kira 30 rumah mendapati hampir 95 peratus penduduk yang ditemui memberikan sambutan baik dan menyatakan sokongan kepada PH.
“Saya yakin dengan maklum balas yang diterima termasuk di Kampung Gadong AC dan Kampung Gadong Jaya, kita mampu mencipta kejutan pada PRN kali ini,” katanya.
Kerusi DUN Labu menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan Ahmad Faez mewakili PH, calon Barisan Nasional (BN), Siti Nur Umaira Hashim dan penyandang daripada Bersatu, Mohamad Hanifah Abu Baker. – MalaysiaGazette

















utamakan perut rakyat dan kenyangkan perut MP DAN ADUN PH