JOHOR BAHRU – Polis menahan 12 lelaki tempatan termasuk seorang remaja berusia 15 tahun kerana terlibat dalam pergaduhan di sebuah restoran di Taman Daya di sini pagi tadi.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, pihak kontinjen menerima maklumat berkenaan kejadian tersebut pada pukul 5.40 pagi.
Pada masa sama, katanya, pihak polis mengesan satu klip video tular berhubung pergaduhan tersebut yang dimuat naik oleh pemilik akaun ‘Lion Wong’ dalam kumpulan Facebook ‘Kita Orang Pahang’.
Semua suspek berjaya ditangkap dalam satu operasi khas antara pukul 10 hingga 11 pagi tadi oleh pasukan Cawangan D7, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan.
“Hasil risikan dan tindakan pantas polis dapat mengesan serta menahan semua suspek di sekitar kawasan Taman Setia Indah tidak lama selepas kejadian dilaporkan,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum itu, tular sebuah video dalam media sosial berdurasi dua minit 36 saat memaparkan pergaduhan yang tercetus ketika perlawanan akhir Piala Dunia antara Sepanyol menentang Argentina, pagi tadi.
Mengulas lanjut, Ab Rahaman berkata, hasil semakan rekod jenayah lampau ke atas mereka kesemua mendapati tiga daripada suspek mempunyai sejarah pembabitan dalam kes jenayah sebelum ini.
Semua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret di sini esok bagi proses permohonan tahanan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah untuk siasatan lanjut.
Jelasnya, kes kini diklasifikasikan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan menggunakan senjata yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Beliau memberitahu, motif atau punca sebenar yang mencetuskan pergaduhan tersebut masih dalam peringkat siasatan pihak berkuasa.
Sehubungan itu beliau meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi liar atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu atau menjejaskan proses siasatan yang sedang berjalan.
Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran atau talian Hotline Polis Johor 019-2792095 serta Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor 07-2212999. – MalaysiaGazette
















