KUALA LUMPUR- Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan prosiding inkues dilakukan bagi menyiasat kes kematian tiga individu dalam insiden tembakan di Durian Tunggal, Melaka pada 24 November tahun lalu.
AGC dalam satu kenyataan berkata, prosiding inkues itu bertujuan menentukan punca dan sebab kematian serta meneliti fakta dan keadaan yang membawa kepada kematian berkenaan.
Ini termasuk mengenal pasti sama ada wujud atau tidak sebarang unsur jenayah berhubung kematian tiga individu akibat insiden tembakan itu.
AGC memandang serius setiap insiden membabitkan kehilangan nyawa dan keputusan untuk mengadakan inkues ini mencerminkan komitmen jabatan itu bagi memastikan segala fakta dan keadaan diperiksa secara menyeluruh, telus dan bebas.
Tambahnya, prosiding inkues dilaksanakan mengikut Seksyen 339(1) Kanun Acara Jenayah selepas AGC mempertimbangkan keseluruhan keterangan dan dapatan siasatan yang dikemukakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Katanya, jabatan itu kekal komited untuk memastikan setiap tindakan dan proses perundangan dilaksanakan dengan adil, profesional serta berlandaskan prinsip kedaulatan undang-undang.
Dalam kejadian pada 24 Nov tahun lepas, tiga lelaki berusia antara 24 hingga 29 tahun ditembak mati selepas seorang daripada mereka didakwa menghayunkan parang ke arah seorang koperal polis di sebuah ladang kelapa sawit di Durian Tunggal, kira-kira 4 pagi.
Insiden berkenaan menyebabkan anggota polis berusia awal 30-an itu mengalami kecederaan serius pada lengan kiri.
Pada 26 Mei lepas, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk M. Kumar berkata kertas siasatan kes tembakan itu dirujuk semula kepada AGC selepas pihaknya selesai melengkapkan beberapa arahan tambahan diminta pihak pendakwaan. – MalaysiaGazette
















