KUALA LUMPUR – Seorang pesakit yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah hospital di Selangor pada 7 Julai lalu kerana disyaki menghidap leptospirosis atau penyakit kencing tikus disahkan negatif jangkitan itu berdasarkan keputusan ujian makmal.
Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) berkata, pesakit berkenaan kini stabil dan telah dipindahkan ke wad biasa untuk menerima rawatan lanjut.
Menurut JKNS, kenyataan itu dikeluarkan susulan penularan hantaran di media sosial yang mendakwa berlaku kes leptospirosis yang dipercayai berpunca dari kawasan rekreasi air di Selangor.
“Untuk rekod, sebanyak 127 kes leptospirosis yang disahkan melalui ujian makmal dilaporkan di beberapa daerah di Selangor bagi tempoh 2024 hingga tahun ini, namun tiada pola taburan khusus dikenal pasti dan tiada kematian direkodkan
“Daripada jumlah itu, sebanyak 26 kes atau 21 peratus mempunyai kaitan dengan aktiviti rekreasi air.
“Tiga lokasi rekreasi air di Selangor yang sering dikaitkan dengan kejadian leptospirosis ialah Taman Eko Rimba Sungai Kanching di Gombak, Air Terjun Sungai Congkak di Hulu Langat dan Sungai Ulu Yam di Hulu Selangor,” katanya.
JKNS berkata, antara langkah kawalan dan pencegahan yang dilaksanakan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) termasuk menjalankan penilaian risiko di lokasi kejadian, mengambil sampel air dan tanah untuk dianalisis serta memastikan papan tanda amaran disediakan oleh pihak berkuasa tempatan atau pengusaha premis.
Selain itu, PKD turut melaksanakan kerja-kerja pembersihan kawasan secara berkala bagi mengurangkan risiko penularan penyakit berkenaan.
Katanya, leptospirosis merupakan penyakit zoonosis disebabkan bakteria Leptospira dan boleh berjangkit daripada haiwan kepada manusia, dengan tikus sebagai pembawa utama.
“Jangkitan boleh berlaku apabila seseorang terdedah kepada air, tanah atau makanan tercemar dengan air kencing haiwan yang dijangkiti, terutama melalui luka pada kulit atau membran mukus seperti mata, hidung dan mulut.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa menjaga kebersihan kawasan rekreasi, tidak membuang sampah merata-rata, mengelakkan aktiviti air sekiranya mempunyai luka terbuka atau menutup luka dengan pembalut kalis air, selain tidak bermain atau meredah air bertakung terutama selepas banjir,” ujarnya.
Orang ramai juga diminta supaya tidak meminum atau menggunakan air sungai yang tidak dimasak dengan sempurna serta mendapatkan pemeriksaan dan rawatan segera di fasiliti kesihatan berhampiran sekiranya mengalami gejala seperti demam, sakit kepala, sakit otot, loya, muntah atau cirit-birit selepas mengunjungi kawasan rekreasi air.
JKNS akan terus memantau situasi penyakit leptospirosis di Selangor secara rapi dan melaksanakan langkah kawalan serta pencegahan bersama agensi berkaitan bagi mengurangkan risiko penularan penyakit berkenaan,” jelasnya. – MalaysiaGazette
















