Tangkap layar video yang tular memaparkan seorang lelaki ditahan kerana menceroboh masuk sebuah rumah di Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru hari ini

JOHOR BAHRU – Cubaan seorang lelaki menceroboh masuk sebuah rumah di Kampung Melayu Majidee di sini hari ini tidak berjaya apabila ditangkap orang awam sebelum diserahkan kepada polis.

Foto dan video memaparkan lelaki berkenaan ditahan beberapa individu di lokasi kejadian tular dalam media sosial.

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan turut mengesan video berkenaan yang tular dalam platform Threads menerusi akaun @jiyaa.mf memaparkan tangkapan suspek dipercayai terlibat dalam kes pencerobohan terbabit.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Azrul Hisham Mohd Shaffei berkata, suspek tempatan berusia 48 tahun itu diberkas anggota dari Balai Polis Majidee di tepi jalan sekitar kawasan berkenaan pada pukul 9 pagi.

“Penahanan suspek dibuat susulan satu laporan polis yang diterima pada pukul 8.42 pagi daripada pengadu berumur 33 tahun yang juga merupakan seorang anggota polis.

“Bertindak atas maklumat yang diperoleh, sepasukan polis digerakkan dan berjaya menahan suspek tidak lama selepas laporan dibuat.

“Hasil semakan lanjut ke atas rekod lampau mendapati suspek mempunyai lima rekod jenayah lampau membabitkan pelbagai kesalahan jenayah dan penyalahgunaan dadah,” katanya dalam kenyataan.

Beliau memberitahu, permohonan reman terhadap suspek akan dimohon di Mahkamah Majistret di sini esok bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan yang lebih mendalam.

Beliau menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan ketenteraman awam serta mengganggu proses siasatan pihak berkuasa.

Tambahnya, mereka yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh menyalurkannya kepada balai polis berhampiran atau menghubungi talian hotline IPD Johor Bahru Selatan 07-2182323.

Kes tersebut kini disiasat bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh, katanya.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast