KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu, syarikat 30 Maple Sdn. Bhd. menerima kemasukan wang berjumlah RM8 juta daripada akaun bank FashionValet Sdn. Bhd. menerusi dua transaksi pada 2018.
Pengurus Khidmat Pelanggan CIMB Bank Cawangan Taman Tun Dr Ismail, Azizan Hassan, 45, berkata, wang itu dimasukkan secara dalam talian pada 21 Ogos 2018 masing-masing sebanyak RM5 juta dan RM3 juta.
Kedua-dua syarikat itu dinyatakan dalam kes melibatkan ahli perniagaan, Datin Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzarudin Shah Anuar berkaitan pertuduhan pecah amanah dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB).
Saksi pendakwaan pertama (SP1) itu selanjutnya menyatakan, baki akaun 30 Maple sebelum kemasukan wang adalah sebanyak RM2,678,853.48.
Menurut beliau, Azizan berkata, semakan pada penyata bank 30 Maple menunjukkan, terdapat transaksi pengeluaran wang dari akaun syarikat itu berjumlah RM10,213,537.28 pada 3 September 2018.
Beliau berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya pada hari pertama perbicaraan kes pecah amanah pasangan itu.
Vivy atau nama sebenarnya Vivy Sofinas Yusof dan suaminya didakwa melakukan pecah amanah dana pelaburan Khazanah dan PNB berjumlah RM8 juta.
Saksi pendakwaan pertama itu berkata, semakan pada penyata bank 30 Maple menunjukkan, terdapat transaksi pengeluaran wang dari akaun syarikat itu berjumlah RM10,213,537.28 pada tarikh 3 September 2018.
Pada pemeriksaan utama yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Noor Syazwani Mohamad Sobry dan Haresh Prakash Somiah, Azizan berkata, Vivy dan Fadzarudin Shah yang merupakan pengarah syarikat terbabit merupakan penandatangan (authorized signatory) bagi pihak 30 Maple.
Terdahulu, peguam M. Athimulan mewakili pasangan suami isteri itu memaklumkan kepada Hakim Rosli Ahmad bahawa beliau memohon untuk menyoal balas saksi tersebut pada Jumaat ini.
Ujarnya, ini kerana beliau masih dalam cuti sakit hingga lusa.
Hakim Rosli Ahmad membenarkan permohonan tersebut dan menetapkan perbicaraan bersambung Jumaat ini.
Vivy, 38, dan Fadzarudin, 37, didakwa dengan niat bersama sebagai Pengarah FashionValet Sdn Bhd melakukan pecah amanah dana pelaburan Khazanah dan PNB.
Menurut pertuduhan, mereka diamanahkan dengan wang tersebut, didakwa membuat pembayaran berjumlah RM8 juta daripada akaun bank milik syarikat FashionValet kepada syarikat 30 Maple tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah FashionValet.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad Cawangan Bukit Damansara di sini pada 21 Ogos 2018.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan maksimum 20 tahun serta dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Mereka juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pilihan iaitu dengan niat bersama secara tidak jujur menyalahgunakan harta milik FashionValet iaitu dana pelaburan Khazanah dan PNB berjumlah RM8 juta, di lokasi dan tarikh sama.
Pasangan suami isteri itu dituduh mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebat dan hendaklah dikenakan denda, jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette
















