Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi, Dr Abdul Aziz Bari

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan seharusnya lebih berhati-hati dalam berbicara terutamanya ketika berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang ke-16.

ADUN Tebing Tinggi, Abdul Aziz Bari menjelaskan, ini kerana calon Barisan Nasional (BN) DUN Rantau itu, pada masa yang sama adalah Menteri Luar Negeri yang dilantik Datuk Seri Anwar Ibrahim ke dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan.

“ Mohammad Hasan sememangnya berada dalam dilema yang sebenar.

“Berdasarkan kenyataan PMX dan kedudukan Mat Hasan sebagai calon PRN Negeri Sembilan, ia menjadikan beliau kelihatan begitu janggal,” katanya dalam satu temubual.

Aziz mengulas mengenai reaksi Timbalan Pengerusi BN itu terhadap kenyataan Perdana Menteri yang mengingatkan individu yang memegang jawatan dalam kerajaan supaya berdisiplin dan tidak menyerang Kerajaan Persekutuan ketika berkempen bagi pilihan raya negeri.

Lebih menarik katanya, Anwar perlu mengingatkan semua calon, khususnya yang berkhidmat sebagai menteri, timbalan menteri atau ketua agensi bahawa mereka bebas berkempen mengenai isu-isu negeri.

Namun, jika mereka memilih untuk menyerang Kerajaan Persekutuan, mereka sepatutnya melepaskan jawatan masing-masing.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu dalam reaksinya terhadap kenyataan Anwar berkata, beliau sedia meletakkan jawatannya dalam Kabinet sekiranya diarahkan Perdana Menteri.

Aziz yang juga merupakan Pakar Perlembagaan menegaskan, Perkara 43(3) Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa anggota Jemaah Menteri perlu mematuhi prinsip tanggungjawab bersama.

Katanya, walaupun peruntukan itu ringkas, implikasinya amat besar,

Menurut Aziz, pada PRN Negeri Sembilan yang bakal diadakan 1 Ogos ini, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berada dalam kedudukan yang lebih baik kerana beliau bukan calon yang bertanding.

Tambahan pula, Zahid katanya, lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan berbanding Mohamad yang terlalu berterus terang.

“Beliau (Mohamad) perlu memilih sama ada mahu terus kekal dalam Kabinet atau menjadi calon dalam pilihan raya negeri,” katanya.

Aziz turut merujuk kepada kenyataan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang disifatkannya tidak adil kerana meletakkan Perdana Menteri dalam kedudukan yang sukar.

Ia susulan reaksi Khaled terhadap kenyataan Anwar dengan menegaskan bahawa pelantikan seseorang sebagai menteri Kabinet adalah atas budi bicara Perdana Menteri yang sedang memegang jawatan.

Naib Presiden UMNO itu berkata, jika orang sudah tidak suka, mengapa tunggu lagi?

“Sebagai ahli politik yang berpengalaman, kedua-duanya sepatutnya memahami implikasi keputusan mereka. Pada ketika ini, mereka seharusnya sudah tahu bahawa dengan mengambil pendirian sedemikian, sudah jelas apa yang perlu dilakukan.

“Bagaimana hendak mengelakkan daripada menyerang Kerajaan Persekutuan apabila seseorang cuba mempromosikan kerjasama antara UMNO dan PAS?” soal Aziz.

Dalam pada itu, Aziz turut mempersoalkan sama ada bekas pemimpin UMNO, Khairy Jamaluddin, telah dihalang daripada menjadi calon dalam pilihan raya negeri oleh pihak tertentu dalam parti.

Sebelum ini, Khairy disebut-sebut sebagai antara wajah utama BN bagi menghadapi pilihan raya berkenaan.

“Berdasarkan kedudukan KJ, beliau jelas berada dalam keadaan yang lebih sesuai untuk bertanding dalam pilihan raya. Saya tertanya-tanya mengapa beliau tidak dipilih dan sama ada ada pihak yang menghalangnya,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast