Mayat seorang wanita ditemukan terapung dalam keadaan tangan dan kaki diikat dengan tali di Sungai Tanjung Serindit, Ulu Papan, Pengerang, Kota Tinggi malam tadi.

KOTA TINGGI – Seorang mayat seorang wanita dalam keadaan kedua-dua tangan dan kakinya diikat dengan ditemui terapung di Sungai Tanjung Serindit, Ulu Papan, Pengerang di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berkenaan penemuan mayat berkenaan pukul 9 malam dan identitinya masih belum dikenal pasti.

“Sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi bersama-sama Bahagian Forensik D10 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor bergegas ke lokasi sebaik menerima laporan.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati mangsa sudah meninggal dunia di tempat kejadian dan kedua-dua bahagian tangan serta kaki mangsa diikat menggunakan tali.

“Identiti mayat masih dalam proses dikenal pasti, manakala punca kematian juga masih dalam siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Yusof, mayat wanita itu sudah dihantar ke Hospital Pasir Gudang untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana disyaki mempunyai unsur jenayah.

Justeru pihaknya meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tersebut atau mengetahui mana-mana individu wanita yang dilaporkan hilang supaya tampil membantu siasatan.

Maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Kes, Asisten Superintendan Noor Azizi Indzam 013-787 8771, mana-mana balai polis berhampiran atau hotline IPD Kota Tinggi 07-883 1222.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast