KUALA LUMPUR – Taktik menggunakan dron untuk menyeludup barangan larangan ke dalam penjara berjaya digagalkan selepas pihak berkuasa mengesan aktiviti mencurigakan di Kompleks Penjara Sungai Udang, Melaka.
Jabatan Penjara dalam kenyataan hari ini mengesahkan cubaan penyeludupan itu dikesan hasil pemantauan dan kawalan keselamatan yang dilaksanakan oleh pihak Penjara Sungai Udang sebelum laporan polis dibuat untuk tindakan lanjut.
Susulan laporan tersebut, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melancarkan operasi dan berjaya menahan dua individu warga tempatan yang disyaki terbabit.
Polis turut merampas beberapa barangan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan cubaan penyeludupan berkenaan.
Dalam pada itu, Jabatan Penjara turut menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti sama ada terdapat penglibatan penghuni penjara atau pihak lain dalam kegiatan tersebut.
Jabatan itu menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang atau salah laku yang boleh menjejaskan keselamatan dan ketenteraman institusi penjara.
Kes berkenaan masih dalam siasatan PDRM dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan serta perundangan.
Susulan ancaman baharu membabitkan penyalahgunaan teknologi dron untuk kegiatan jenayah, Jabatan Penjara akan terus mempertingkatkan langkah keselamatan termasuk penggunaan teknologi, pemantauan risikan, rondaan keselamatan dan kerjasama antara agensi.
Jabatan Penjara turut memberi jaminan akan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan PDRM serta agensi penguat kuasa lain bagi membanteras kegiatan jenayah yang boleh mengancam keselamatan institusi penjara dan negara. – MalaysiaGazette
















