KUALA LUMPUR – Kedudukan kewangan Lembaga Tabung Haji (TH) kini jauh lebih kukuh berbanding tahun 2018 hasil pelaksanaan pelan penstrukturan semula yang menjadi asas kepada pemulihan dan transformasi institusi itu sejak lapan tahun lalu.
TH berkata, kejayaan mengekalkan kos haji selama tiga tahun berturut-turut dari 2024 hingga 2026 serta pengumuman agihan keuntungan tertinggi dalam tempoh lapan tahun bagi tahun kewangan 2025 membuktikan keberkesanan langkah pemulihan yang dilaksanakan.
Menurut TH, penstrukturan semula pada 2018 dibuat bagi menangani kedudukan kewangan yang memerlukan tindakan segera selepas Ketua Audit Negara membangkitkan isu berkaitan amalan pengiktirafan rosot nilai aset tertentu dalam penyata kewangan tahun berakhir 2017.

Pada masa sama, Bank Negara Malaysia turut menyuarakan kebimbangan apabila nilai aset TH didapati lebih rendah berbanding liabiliti, sekali gus menunjukkan wujud jurang yang perlu ditangani bagi memastikan institusi itu terus mematuhi Akta Tabung Haji 1995.
TH berkata, keadaan itu bertambah serius pada 2018 apabila jurang antara aset dan liabiliti meningkat kepada kira-kira RM10 bilion, sekali gus berisiko menyebabkan TH tidak dapat mengisytiharkan agihan keuntungan kepada pendeposit jika tiada tindakan segera diambil.
“Kerajaan ketika itu tiada pilihan selain melaksanakan pelan penstrukturan semula bagi memastikan TH kembali berada dalam kedudukan solven dengan aset melebihi liabiliti serta mengekalkan keyakinan lebih sembilan juta pendeposit,” menurutnya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut TH, pelaksanaan pelan tersebut perlu disiapkan dalam tempoh kira-kira tiga bulan sebelum berakhir tahun kewangan 2018, menyebabkan penyelesaian yang dipilih perlu praktikal, boleh dilaksanakan dalam masa singkat dan mampu memulihkan kedudukan kewangan serta-merta.
Sebagai langkah penyelesaian, beberapa aset kurang berdaya saing dan bermasalah dipindahkan kepada syarikat tujuan khas milik penuh kerajaan, Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB), pada nilai premium bagi menampung kerugian dan memastikan TH kembali memenuhi syarat di bawah Akta Tabung Haji.
TH menjelaskan pelan itu bukan sekadar penyelesaian jangka pendek, malah menjadi asas kepada transformasi institusi berkenaan sehingga hari ini.
Menurut TH, institusi itu tidak mempunyai sebarang kewajipan membeli semula aset yang dipindahkan kepada UJSB, sebaliknya hanya mempunyai hak keutamaan untuk menolak sekiranya aset berkenaan ingin dijual semula, tertakluk kepada penilaian komersial dan kesesuaian pelaburan.
Pada 2026, TH mengambil alih semula dua aset daripada UJSB selepas mendapati ia memenuhi strategi pelaburan dan Alokasi Aset Strategik (SAA) semasa.
Salah satu aset berkenaan ialah tanah di Tun Razak Exchange (TRX), yang sebelum ini dijual kepada UJSB pada nilai premium RM400 juta pada 2018.
Pada tahun 2026 setelah menyaksikan pembangunan pesat berlaku di TRX, TH mengambil keputusan untuk mengambilalih semula tanah di TRX tersebut pada harga RM270 juta berdasarkan nilai pasaran komersil semasa.
TH turut mengambil alih semula UJ Estates (Holdings) Sdn Bhd (UJEH), syarikat perladangan kelapa sawit yang sebelum ini dijual pada nilai premium RM800 juta pada 2018, pada harga RM695 juta berdasarkan kaedah penilaian Enterprise Value selepas prestasi operasi dan aliran tunainya menunjukkan pemulihan.
Bagaimanapun, TH memaklumkan beberapa aset lain yang ditawarkan tidak diperoleh semula kerana tidak memenuhi kriteria pelaburan dan berpotensi menjejaskan pulangan pelaburan serta kedudukan kewangan institusi itu.
TH berkata, sejak 2018 pelbagai inisiatif turut dilaksanakan termasuk merasionalisasikan portfolio pelaburan, memperkukuh tadbir urus dan pengurusan risiko, melaksanakan strategi pelaburan lebih berhemah serta meningkatkan kecekapan operasi.
Menurut TH, hasil pelan penstrukturan itu, institusi tersebut kini kembali memenuhi syarat aset melebihi liabiliti, berjaya meningkatkan kadar agihan keuntungan daripada 1.25 peratus pada 2018 kepada 3.50 peratus bagi tahun kewangan 2025.
TH juga terus mengurus simpanan lebih sembilan juta pendeposit dan mengekalkan perkhidmatan haji bertaraf dunia serta pengiktirafan antarabangsa dalam pengurusan operasi haji. – MalaysiaGazette
















