Menteri Besar yang juga calon Pakatan Harapan N.32 Linggi, Datuk Seri Aminuddin Harun bercakap kepadaa media selepas Peluncuran Manifesto Harapan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Klana Resort, Seremban, Negeri Sembilan. Foto MOHD ADZLAN, 20 JULAI 2026. (Gambar fail)

SEREMBAN – Gandingan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dijangka menjadi antara kekuatan utama Pakatan Harapan (PH) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, 1 Ogos ini.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Pengurusan Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Mohd Rashdan Sallehuddin berkata, kesinambungan pentadbiran PH di negeri itu selain rekod prestasi Aminuddin sepanjang menerajui kerajaan negeri menjadi antara faktor yang mampu mempengaruhi keputusan pengundi.

Mohd Rashdan Sallehuddin

Menurut beliau, hubungan baik antara kerajaan negeri dan Persekutuan turut memberi kelebihan kepada Negeri Sembilan bagi memastikan lebih banyak manfaat pembangunan dan ekonomi dapat disalurkan kepada rakyat.

“Berbeza dengan landskap politik di Johor, PH masih mempunyai pengaruh yang sukar dipandang ringan berdasarkan keputusan pilihan raya sebelum ini di Negeri Sembilan.

“Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), PH membentuk kerajaan di Negeri Sembilan selepas memenangi 20 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Para pengundi di Negeri Sembilan akan lebih bijak menilai prestasi Kerajaan Madani, sejajar dengan prestasi ekonomi negara dan nilai ringgit yang semakin meningkat di bawah Perdana Menteri yang semakin popular,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Rashdan berkata, landskap politik Johor tidak wajar disamakan dengan Negeri Sembilan kerana kedua-dua negeri mempunyai dinamika politik dan corak pengundian yang berbeza.

Katanya, Negeri Sembilan kini diterajui Aminuddin yang didakwa mempunyai rekod pentadbiran cemerlang tanpa skandal atau penyelewengan, selain berjaya membawa pelbagai perubahan kepada rakyat sepanjang lapan tahun menerajui kerajaan negeri.

“Banyak perubahan serta peningkatan dari segi ekonomi, pelaburan, pembangunan dan kutipan zakat sepanjang lapan tahun beliau mentadbir negeri ini.

“Maka usaha ini perlu diteruskan agar kesejahteraan dapat dinikmati oleh seluruh rakyat di negeri ini.

“Lebih daripada itu, pengundi Negeri Sembilan juga akan lebih terbuka untuk memberikan undi berdasarkan prestasi Anwar dan PH yang terbukti menjadi kerajaan negeri yang efektif dan membawa suara berbilang bangsa,” katanya.

Sebelum ini, Timbalan Pengerusi PH, Anthony Loke berkata, PH menyasarkan kemenangan sekurang-kurangnya 23 daripada 36 kerusi DUN pada PRN Negeri Sembilan bagi memperoleh mandat lebih besar dan membentuk kerajaan negeri yang stabil.

Setiausaha Agung DAP itu berkata, PH ketika ini menguasai 17 kerusi DUN dan memerlukan sekurang-kurangnya 19 kerusi untuk memperoleh majoriti mudah, namun mandat lebih besar diperlukan bagi memastikan pentadbiran negeri dapat berjalan dengan kukuh dan stabil. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast