GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan memperkukuh usaha pemuliharaan jerung dan ikan pari yang semakin terancam akibat penangkapan ikan secara berlebihan, tangkapan sampingan, kemerosotan habitat serta perdagangan haram yang mengancam keseimbangan ekosistem marin negara.
Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, jerung dan ikan pari bukan sekadar hidupan laut, sebaliknya memainkan peranan penting sebagai pemangsa yang mengawal keseimbangan rantaian makanan marin, sekali gus memastikan terumbu karang kekal sihat, industri perikanan terus produktif serta menjamin sumber makanan dan mata pencarian masyarakat pesisir.
“Malaysia yang diiktiraf sebagai antara kawasan tumpuan biodiversiti marin dunia menjadi habitat kepada 69 spesies jerung daripada 18 keluarga serta 81 spesies ikan pari daripada 16 keluarga berdasarkan Pelan Tindakan Kebangsaan bagi Pemuliharaan dan Pengurusan Jerung (NPOA-Sharks) 2024-2030 yang dilaksanakan Jabatan Perikanan Malaysia (DOFM).
“Bagaimanapun, banyak spesies terus berdepan tekanan akibat aktiviti penangkapan ikan, selain beberapa spesies jerung di perairan Malaysia turut disenaraikan sebagai Rentan (VU), Terancam (EN) dan Terancam Kritikal (CR) dalam Senarai Merah Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN),” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Mohideen berkata, antara cabaran utama ialah kebanyakan jerung dan pari ditangkap sebelum sempat membiak, sedangkan spesies itu membesar secara perlahan, lambat mencapai kematangan serta menghasilkan bilangan anak yang sedikit menyebabkan populasinya mengambil masa puluhan tahun untuk pulih jika terus dieksploitasi.
“Keadaan itu diburukkan lagi dengan hasil tangkapan sampingan komersial yang tidak terkawal serta perdagangan daging dan sirip jerung yang terus mendapat permintaan.
“Bukti saintifik turut menunjukkan habitat penting bagi spesies Elasmobranchii di seluruh Asia masih kurang dilindungi, sedangkan kawasan itu menjadi lokasi pembesaran, pembiakan dan pencarian makanan yang penting untuk kelangsungan populasinya.
“Pada masa sama, peningkatan suhu laut turut menjejaskan habitat kritikal berkenaan dan keadaan ini perlu diberi perhatian serius dalam usaha pemuliharaan negara,” katanya.
Tambah beliau, ketika ini hanya beberapa spesies Elasmobranchii dilindungi di bawah Peraturan-Peraturan Perikanan (Pengawalan Spesies Ikan yang Terancam) (Pindaan) 2019, termasuk whale shark, oceanic whitetip shark, smooth hammerhead, great hammerhead, winghead shark, reef manta ray, oceanic manta ray dan semua spesies sawfish, manakala sebahagian besar spesies lain masih belum mendapat perlindungan.
Sehubungan itu, CAP menggesa kerajaan memperkukuh pengurusan perikanan berasaskan sains, memperluaskan kawasan perlindungan habitat penting, meningkatkan penguatkuasaan terhadap penangkapan ikan serta perdagangan hidupan liar secara haram, selain menambah pelaburan dalam penyelidikan saintifik dan pemantauan hasil tangkapan.
“Selain itu, kerjasama lebih erat antara penyelidik, kumpulan pemuliharaan dan komuniti nelayan juga perlu bagi mengamalkan kaedah penangkapan ikan yang lebih bertanggungjawab, mengurangkan tangkapan sampingan serta memperbaiki prosedur pelepasan semula jerung dan pari yang masih hidup ke laut dengan selamat,” katanya. – MalaysiaGazette
















