KUALA LUMPUR – Tindakan individu yang menyebarkan maklumat peribadi melibatkan pempengaruh terkenal, Khairul Aming hingga tular di platform Threads adalah salah di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil telah bertemu dengan wakil syarikat telekomunikasi yang berkaitan berhubung dakwaan kebocoran maklumat bil telefon individu terbabit.
“Saya juga akan mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi mendapatkan laporan penuh mengenai insiden berkenaan.
“Ini merupakan satu perkara yang agak merisaukan kerana berdasarkan aduan yang saya baca di Threads memberi satu bayangan individu tidak sepatutnya mempunyai akses kepada maklumat peribadi, kedua akses kepada inventori ataupun sistem yang dimiliki oleh sebuah syarikat telekomunikasi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Kawal Selia Antarabansa (IRC 2026) di sini hari ini.
Fahmi turut menggesa mana-mana individu yang mengalami insiden sama supaya membuat laporan melalui portal aduan MCMC bagi membolehkan siasatan dijalankan.
“Laporan ini penting supaya kita dapat mewujudkan rekod rasmi selain membantu MCMC mengumpulkan maklumat dan bukti yang diperlukan untuk tindakan susulan.
“Tindakan boleh diambil terhadap mana-mana pihak yang dengan sengaja menyebarkan maklumat Personally Identifiable Information (PII) kerana ia merupakan satu kesalahan di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi,” jelasnya.
Beliau juga menggesan supaya mangsa segera membuat laporan polis selain mengemukakan aduan kepada MCMC bagi memudahkan proses siasatan dan tindakan penguatkuasaan.
Terdahulu, tular di platform Threads berhubung hantaran Khairul Aming yang bimbang berhubung kebocoran maklumat bil telefon peribadinya yang dikaitkan dengan seorang pengguna media sosial. – MalaysiaGazette
















