PETALING JAYA – Kejohanan Boling Bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Media 2026 anjuran Bahagian Alam Sekitar, Kumpulan Syarikat Worldwide Holdings Berhad (WHB) bukan sekadar menjadi gelanggang persaingan sukan, malah berfungsi sebagai platform memperkukuh hubungan strategik antara agensi kerajaan, PBT dan rakan media.
Program tahunan yang berlangsung di Sunway Megalanes, Sunway Pyramid itu menghimpunkan 46 pasukan membabitkan 184 peserta daripada pelbagai jabatan dan agensi Kerajaan Persekutuan serta Kerajaan Negeri Selangor, termasuk semua PBT, Pejabat Daerah dan Tanah serta wakil organisasi media.
Selain memupuk budaya hidup sihat, kejohanan berkenaan turut membuka ruang kepada peserta untuk mengeratkan silaturahim, memperkukuh kerjasama profesional dan memperluaskan jaringan antara pelbagai pihak yang terlibat dalam sektor pengurusan alam sekitar.

Antara agensi yang mengambil bahagian ialah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA), Unit Perancang Ekonomi Selangor (UPEN), Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor, Indah Water Konsortium (IWK), Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor, Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Jabatan Perhutanan Negeri Selangor dan TNB Single Buyer.
Turut menyertai kejohanan ialah wakil media daripada Harian Metro, RTM, Sinar Harian, TV Selangor dan Selangorkini.
Dalam saingan berpasukan, MBDK Bowlers dari Majlis Bandaraya Diraja Klang muncul juara selepas mencatat jumlah keseluruhan 2,448 jatuhan pin.
Tempat kedua dimenangi pasukan Selfire dari Jabatan Bomba dengan 2,006 jatuhan pin, manakala pasukan JPSPKP Majlis Perbandaran Kuala Langat melengkapkan kedudukan tiga terbaik menerusi catatan 1,933 jatuhan pin.
Bagi kategori individu lelaki, Mohd Arif daripada MBDK Bowlers menampilkan aksi cemerlang untuk dinobatkan sebagai juara selepas mengumpul 696 jatuhan pin.
Sementara itu, wakil Sinar Harian Angels, Diana, muncul juara kategori individu wanita dengan catatan 603 jatuhan pin, sekali gus mengetepikan saingan peserta daripada pelbagai agensi lain.
Beberapa anugerah khas turut disampaikan kepada peserta yang mempamerkan prestasi cemerlang sepanjang kejohanan.
Ketua Pegawai Operasi Alam Sekitar Worldwide Environment, Danial Liew berkata, kejohanan itu mencerminkan komitmen Worldwide Holdings dalam menghargai hubungan erat yang telah lama terjalin bersama PBT, agensi kerajaan dan rakan media.
Menurut beliau, program berkonsepkan riadah seperti itu bukan sahaja menggalakkan amalan gaya hidup sihat, malah menjadi medium berkesan untuk memperkukuh persefahaman serta kerjasama dalam menjayakan pelbagai inisiatif pengurusan alam sekitar di Selangor.
“Hubungan yang kukuh dengan semua pihak berkepentingan amat penting bagi memastikan penyampaian perkhidmatan yang lebih berkesan. Kami berharap semangat kerjasama yang dipupuk melalui program ini akan terus diperkasakan demi manfaat bersama,” katanya.
Majlis turut dihadiri Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri Selangor, Ir. Shukri Ishak; Pegawai Daerah Gombak, Nor Azlina Abdul Aziz; Ketua Komunikasi Korporat dan Kelestarian Worldwide Holdings Berhad, Raja Farah Diba Raja Abdul Rashid, serta barisan pengurusan kanan Worldwide Entech Sdn. Bhd.
Kejohanan Boling Bersama PBT dan Media merupakan antara program tahunan Worldwide Holdings dalam memperkukuh jaringan kerjasama strategik bersama pihak berkepentingan menerusi pendekatan santai yang menggabungkan aktiviti sukan dan interaksi profesional.
Penganjur berharap program seumpama itu akan terus menjadi pemangkin kepada hubungan lebih erat antara agensi kerajaan, PBT dan media, sekali gus menyokong usaha mempertingkatkan mutu penyampaian perkhidmatan pengurusan alam sekitar yang mampan demi kesejahteraan rakyat di Selangor. – MalaysiaGazette
















